X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

2,240 kes HFMD di Johor

Sebanyak 2,240 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Johor pada Minggu Epid 20/2022. - Foto 123RF
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 2,240 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di seluruh negeri ini pada Minggu Epid 20/2022.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, angka terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 22.2 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 dengan hanya mencatatkan 101 kes.

"Kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 2,027 kes (90.49 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 184 kes (8.21 peratus) dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga kini, sebanyak 14 wabak aktif HFMD dilaporkan dengan daerah tertinggi mencatatkan kejadian wabak aktif ialah Kluang (sembilan wabak), diikuti daerah Johor Bahru (empat) dan Batu Pahat (satu).

"Majoriti lokasi penularan wabak di Negeri Johor sehingga Minggu Epid 20/2022 berlaku di taska (24 wabak) diikuti oleh rumah persendirian (14), tadika (empat), prasekolah (dua) dan pusat jagaan harian (satu)," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, Penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

“Antaranya adalah dengan membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

“Selain itu, pastikan mulut dan hidung ditutup semasa batuk serta bersin, jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu dan sudu.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!