MAIK kekal bebas rasuah

Barisan imam masjid yang melafazkan Ikrar Bebas Rasuah di Panji, Kota Bharu, pada Isnin.
Barisan imam masjid yang melafazkan Ikrar Bebas Rasuah di Panji, Kota Bharu, pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sehingga kini berjaya mengekalkan imej bersih dengan bebas daripada sebarang gejala salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan dan petugas di bawah seliaan majlis itu termasuk imam-imam masjid.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan itu diperoleh hasil daripada amalan integriti yang tinggi diterapkan sekian lama ke dalam diri setiap kakitangan dan petugas di bawah seliaan majlis agama tersebut.

Katanya, mereka sebagai barisan kepimpinan dalam bidang agama terutama golongan imam masjid mendapat pengiktirafan sebagai 'role model' dalam kalangan masyarakat setempat.

“Dalam Islam sekali pun, hukumnya haram untuk mengambil atau memberi rasuah dan MAIK terapkan amalan integriti yang tinggi dalam kalangan kakitangan termasuk kepada imam-imam masjid yang mana di kampung-kampung mereka menjadi contoh diteladani.

“Usaha ini akan memberi keyakinan kepada umum bahawa MAIK sentiasa menekankan ketelusan dalam semua penugasan yang dilakukan,” katanya selepas merasmikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Pengurniaan Tauliah Pelantikan Pegawai Masjid Mukim Tahun 2022 di Kompleks Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Ketua Penolong Ketua Pesuruhjaya (KPKPj) Rosli Husain dan Timbalan Yang Dipertua Maik Zulkifle Ab Rahman.

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam (tengah) menyampaikan tauliah kepada Imam Muda Masjid Mukim Gual Tinggi, Rantau Panjang, Abdul Karim Makhtar.
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam (tengah) menyampaikan tauliah kepada Imam Muda Masjid Mukim Gual Tinggi, Rantau Panjang, Abdul Karim Makhtar.

Mengulas lanjut, kata Tengku Mohamad Rizam, sebagai bukti MAIK serius dalam jihad menentang rasuah, peringatan supaya masyarakat menjauhi jenayah kolar putih tersebut turut ditekankan di dalam bacaan khutbah Jumaat di setiap 608 masjid di seluruh negeri ini.

“Pada hari ini, 600 kakitangan MAIK dan 107 imam melafazkan Ikrar Bebas Rasuah sebagai tanda komitmen mereka dalam mengekang atau tidak terlibat dengan gejala ini.

“Selepas ini akan diadakan dua lagi siri membabitkan keseluruhan lebih 1,700 kakitangan dan petugas di bawah seliaan MAIK termasuk ahli jawatankuasa masjid akan melaksanakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, MAIK dalam perbincangan dengan pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia untuk memberi peluang kepada pegawai masjid mukim untuk menyambung pengajian dalam tempoh perkhidmatan

“Mereka mungkin boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi ketika dalam tempoh perkhidmatan dan ditauliahkan sijil yang setaraf dalam bidang pengurusan masjid.

“MAIK sentiasa mengalu-alukan program dan inisiatif bagi menambah kecekapan dan kemahiran pegawai masjid,” katanya.