Najib nafi kerajaan belanja bilion ringgit bantu Sapura

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan kerajaan bakal membelanjakan berbilion ringgit untuk melaksanakan cadangannya berkenaan penyelamatan syarikat penyedia perkhidmatan gas dan minyak negara Sapura Energy Berhad (SEB).

Ahli Parlimen Pekan itu yang berkongsi perkara berkenaan di Facebook pada Isnin turut mengulangi hujahnya bahawa penyelamatan SEB tidak langsung akan membabitkan satu sen wang rakyat.

Katanya, pemulihan keadaan pasaran perkhidmatan minyak dan gas dunia yang ditunjukkan ketika ini diyakini akan membolehkan syarikat itu melangsaikan hutangnya sendiri tanpa suntikan dana daripada kerajaan.

“(Saya) cuma mahu kerajaan beri jaminan hutang supaya Sapura boleh memulihkan modal kerja untuk mereka menyiapkan kontrak dalam tangan bernilai RM8b (naik dari RM7b bulan lepas) serta Petronas lebih adil bagi kadar dan tempoh bayaran kontrak.

“Ataupun Petronas mengambil alih secara sementara untuk pulihkan sebab Petronas memang perlukan perkhidmatan Sapura ketika CAPEX Petronas sudah naik ke paras tertinggi ketika ini. Ini mampu memulihkan keyakinan terhadap syarikat itu,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, isu gaji tinggi diterima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu yang dimainkan pimpinan pembangkang juga sepatutnya tidak berbangkit memandangkan ia kini sudah diubah dan tidak setinggi sebelum ini.

“Selepas itu, CEO itu sudah bersara dan berhenti. Gaji CEO tak tinggi lagi. Syarikat Sapura pula syarikat GLC milik Rakyat melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Jadi, jika kita selamatkannya sekarang ianya bukan lagi selamatkan CEO tersebut sebagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat masa itu,” katanya.

Najib menambah, kenaikan harga saham SEB yang direkodkan selepas acara debat pada 12 Mei lalu yang meningkat dari 3.5 sen sehingga 8.5 sen itu masih jauh lebih rendah berbanding tempoh setahun lalu 12 hingga 15 sen.

Ujar beliau, harga saham yang dibayar PNB untuk pegangannya pada tahun 2019 juga lebih tinggi iaitu 37 sen.

“Dan ianya jauh lebih rendah dari harga hampir RM5 pada tahun 2014 ketika harga minyak dunia terakhir sekali cecah AS$100 satu tong dan SEB menjana keuntungan bersih sebanyak RM1.4 bilion setahun,” katanya.

Najib berkata, pemulihan harga saham syarikat itu bakal memberi manfaat kepada pelabur PNB dan kerajaan melalui Petronas pula akan menikmati keuntungan besar sekiranya mereka menawarkan bantuan terhadap SEB yang juga merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).