PRU15: PH terbuka adakan rundingan kerjasama dengan PN

Mat Sabu (tengah) memotong kek pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parti Amanah Johor di Kempas, Johor Bahru pada malam Sabtu.
Mat Sabu (tengah) memotong kek pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parti Amanah Johor di Kempas, Johor Bahru pada malam Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) terbuka berunding dengan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, keputusan mengenai kerjasama politik itu akan ditentukan jawatankuasa PH.

Walaupun begitu katanya, PH masih ingat dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila kerajaan yang dibentuk bersama-sama selepas PRU14 tumbang disebabkan Langkah Sheraton pada 2020.

"Tidak masalah untuk bertemu dan berbincang, tetapi perasaan kehilangan kerajaan akibat perbuatan itu masih menyala-nyala di hati apabila kerajaan tumbang kerana Sheraton Move, bukannya melalui PRU.

"Kenapa hendak jatuhkan kerajaan PH dahulu, mereka tidak fikir dan inilah akibatnya. 10 tahun lagi pun belum tentu boleh pulih keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi yang ada, ini adalah akibat perbuatan sedemikian rupa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfriti Amanah di Kempas di sini pada malam Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Mohamad berkata demikian bagi mengulas kenyataan sama ada kedua-dua gabungan itu wajar duduk semeja membincangkan strategi serta kemungkinan untuk bekerjasama bagi menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Pada Jumaat, Muhyiddin berkata, PN sehingga kini masih belum mengadakan perbincangan rasmi dengan PH untuk bergabung pada PRU15.

Pengerusi PN itu berkata, walaupun begitu sudah ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk mengelakkan pertembungan antara PN dan PH pada PU15 nanti bagi menentang BN secara satu lawan satu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Muhyiddin perlu membuktikan pihaknya benar-benar ikhlas dalam rundingan tersebut dan tidak lagi melakukan khianat terhadap PH seperti sebelum ini.

Ditanya mengenai kemungkinan PH akan bergerak secara sendiri pada PRU15, Mohamad berkata, pihaknya akan melihat kepada perkembangan dari masa ke masa sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, PH juga sudah mengadakan beberapa perbincangan serta sedia mengadakan kerjasama politik untuk PRU15 dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) seperti dilakukan pada Pilihan Raya Negeri Johor lalu.

"Kita sudah mula mengadakan perbincangan dan rundingan sekarang ini untuk melihat kemungkinan kerjasama yang akan dijalinkan. Saya tidak akan membuat keputusan peribadi dan segalanya bergantung kepada jawatankuasa PH," katanya.