Belum ada perbincangan rasmi PN-PH bergabung dalam PRU15

Muhyiddin (dua dari kanan) memotong kek dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, Muar pada Jumaat.
Muhyiddin (dua dari kanan) memotong kek dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, Muar pada Jumaat.
A
A
A

MUAR - Perikatan Nasional (PN) sehingga kini masih belum mengadakan perbincangan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) untuk bergabung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun sudah ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk mengelakkan pertembungan antara PN dan PH dalam PRU15.

"Secara rasmi tidak ada, tapi inisiatif yang diambil oleh pihak-pihak tertentu sudah ada untuk bincang cara mengelakkan pertembungan dalam pilihan raya bagi menentang Barisan Nasional (BN).

"Usaha satu lawan satu macam yang saya dah umumkan beberapa minggu yang lepas, tapi itu belum sampai ke tahap yang dikatakan sudah selesai atau dapat keputusan," katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh di sini pada Jumaat.

Bersatu sebelum ini dilapor bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi memastikan BN berdepan saingan satu lawan satu pada PRU15 akan datang.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Muhyiddin berkata, ketika ini parti itu masih di peringkat awal rundingan bagi menawarkan formula 'menang-menang' antara mereka supaya dapat mencapai agenda berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, PN menyokong usaha pembahagian kerusi melibatkan parti gabungan mereka dilaksanakan lebih awal sebagai persediaan rapi menghadapi PRU15.

Menurutnya, meskipun pembahagian kerusi belum dibincangkan lagi sehingga kini, proses tersebut wajar dilakukan lebih awal bagi mencapai kesepakatan yang lebih baik.

"Apabila ia diputuskan lebih awal, maka kita dapat lebih jelas bentuk dan hala tuju kita dalam menghadapi PRU yang akan datang.

"Saya menyokong jika kita lebih cepat selesaikan pembahagian kerusi, sekali gus akan membolehkan jentera parti dan pimpinan parti dalam PN dapat menentukan kerusi masing-masing," katanya.

Muhyiddin berkata, pada peringkat awal pastinya akan timbul masalah seperti perebutan pembahagian kerusi dalam parti-parti gabungan.

Jika diselesaikan masalah tersebut lebih awal katanya, tidak akan mengganggu PN dalam usaha untuk memenangi PRU15 sekali gus dapat memberi tumpuan sepenuhnya.

"Contohnya kalau Pagoh ini Bersatu punya, maka jentera PN dan Bersatu akan bekerjasama. Kalau tidak, sampai saat akhir masa hari penamaan calon pun tidak akan tahu siapa calon dan kerusi apa yang bertanding.

"Seperti yang berlaku di sesetengah pilihan raya sebelum ini, isu-isu berbangkit tidak dapat kita selesaikan dan ia membawa kesan kepada keputusan pengundi yang akan keluar sama ada menang ataupun kalah," katanya.

habis