X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Bukit Aman gempur perlumbaan drag

Polis menahan sembilan pemandu kereta dalam operasi di Seremban 2, Negeri Sembilan pada Ahad.
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti kumpulan kereta dalam perlumbaan drag dengan bunyi ekzos bising di Dataran Centrio Seremban 2, Negeri Sembilan dikejutkan dengan serbuan polis pada awal pagi Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman pada jam 1 pagi itu mengesan sembilan buah kereta yang melakukan perlumbaan ujian kelajuan.

Menurutnya, aksi bersaing sesama sendiri dengan deruan enjin itu dilakukan beberapa pusingan hingga membahayakan pemandu dan pengguna jalan raya lain.

"Kesemua pemandu berusia 19 hingga 39 tahun telah ditahan untuk tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sembilan buah kereta jenis Proton Satria, Proton Saga, Proton Wira, Perodua Myvi, Honda CR-Z dan Honda Civic telah disita untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, tangkapan dan sitaan kenderaan telah dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Katanya, serbuan itu dijalankan berikutan aduan awam yang diterima pihaknya pada 15 Mei lalu berkenaan kumpulan terbabit yang berlumba, ekzos bising selain memainkan muzik yang kuat hingga mengganggu penduduk sekitar.

Dalam perkembangan lain, operasi kira-kira jam 1.35 pagi, hari yang sama di Seremban 2, turut menahan 20 penunggang motosikal kerana tidak memiliki lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!