KKM pantau penularan wabak cacar monyet

KKM akan terus memantau perkembangan situasi penularan wabak cacar monyet dengan melakukan pemantauan kes di semua Pintu Masuk Antarabangsa serta melalui laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
KKM akan terus memantau perkembangan situasi penularan wabak cacar monyet dengan melakukan pemantauan kes di semua Pintu Masuk Antarabangsa serta melalui laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan situasi penularan wabak cacar monyet atau monkeypox dengan melakukan pemantauan kes di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) serta melalui laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan terdapat jangkitan cacar monyet juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, jika mereka mengalami gejala penyakit ini dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut, mereka dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Mereka perlu maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut dan mengelakkan daripada kontak langsung dengan individu lain. Selain itu, mereka perlu lakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya.

“KKM ingin menasihati pengembara ke kawasan-kawasan yang terdapat kejadian cacar monyet di Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara-negara yang sedang mengalami wabak penyakit ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Mereka perlu mengekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor dan mengelakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes.

“Selain itu, mereka perlu mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Noor Hisham menjelaskan, kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad.

Oleh itu, risiko virus ini tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali sekiranya terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit yang dijangkiti monkeypox.

Bagaimanapun, KKM telah menyediakan Soalan Lazim (Frequently Ask Questions - FAQ) mengenai jangkitan monkeypox bagi menjelaskan lagi mengenai penyakit ini yang boleh dimuat turun dari laman Facebook CPRC Kebangsaan di https://www.facebook.com/187891761403516/posts/1891643347695007/.

“Pada masa ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian pengesanan virus penyebab monkeypox dalam kalangan manusia.

“Manakala Makmal Kesihatan Awam Veterinar serta makmal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga mempunyai kemampuan makmal untuk menjalankan pengujian mengesan orthopoxviruses dalam kalangan haiwan.

“KKM sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan PERHILITAN utk memantau kejadian monkeypox dalam kalangan haiwan liar, termasuk yang diimport dari Afrika dan Benua Eropah,” ujar beliau.