KPLB peruntuk RM80 juta untuk sekuriti makanan

Abdul Rahman (dua dari kanan) bersama Reezal Merican (tiga dari kanan) mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak dalam majlis tersebut pada Sabtu.
Abdul Rahman (dua dari kanan) bersama Reezal Merican (tiga dari kanan) mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak dalam majlis tersebut pada Sabtu.
A
A
A

LIPIS– Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk menjamin bekalan makanan dan sekuriti makanan negara agar terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberitahu, usaha itu akan dijalankan menerusi agensi di bawahnya iaitu Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra Berhad.

Menurutnya, menerusi peruntukan tersebut, agensi-agensi KPLB ini akan mengambil inisiatif untuk memperkembangkan dan mengukuhkan gedung makanan utama negara terutama dalam industri penternakan dan perladangan.

”KPLB telah memberikan keyakinan kepada Felcra Berhad untuk melaksanakan projek ternakan berjumlah RM60 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menjalankan aktiviti ternakan ayam pedaging secara sistem tertutup.

"Felcra Berhad dijangka mampu menghasilkan sebanyak 600 ribu ekor ayam daging bagi satu pusingan atau setiap 35 hari sekali gus menjadikan Felcra sebagai salah satu pemain utama industri penternakan ayam pedaging secara sistem tertutup dengan skala besar di Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

”Projek yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad ini dengan pengeluaran ayam berkualiti dan halal selain menyediakan dan membuka peluang pekerjaan selain merancakkan industri dan perniagaan berasaskan ayam pedaging yang akan dijalankan bila-bila masa," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau ditemui sempena Program Komuniti Sejahtera Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri 1 KPLB dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Lipis di Arena Jubli Perak di sini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ujar Abdul Rahman lagi, berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar Malaysia, purata keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ekor ayam sehari, atau 62.9 juta ekor ayam sebulan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, RISDA pula menerima peruntukan berjumlah RM20 juta bagi Program Agromakanan melibatkan seramai 1,000 orang peserta di seluruh negara.

"Program Agromakanan merupakan strategi pembangunan untuk mengoptimumkan penambahan pendapatan pekebun kecil sama ada secara individu atau berkumpulan dan dalam masa yang sama memastikan bekalan makanan negara berada pada tahap yang selamat.

”Bagi memenuhi keperluan keperluan daging lembu di Malaysia pula, RISDA menerusi syarikat milikannya RISDA Livestock Sdn. Bhd. (RLSB) telah melaksanakan integrasi fidlot ternakan lembu bagi meningkatkan keluaran daging tempatan berstatus halal," jelasnya.

Tambahnya, selaras dengan usaha menyokong dasar keselamatan makanan negara, RLSB menyasarkan sebanyak 6,000 ekor lembu dapat diproses bagi menampung keperluan makanan negara pada tahun ini dan akan dipertingkat kepada 10,000 ekor setahun sekali gus mengurangkan kebergantungan sumber bekalan daging import.

"Menerusi Program Agromakanan 2022 hingga 2030, RLSB menyasarkan peningkatan pengeluaran daripada kadar tujuh peratus kepada 30 peratus kadar pengeluaran daging negara.

”Selain itu, RLSB juga bersedia untuk mengimport daging dari luar negara bagi memenuhi keperluan makanan untuk rakyat Malaysia selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri berhubung pemansuhan permit import (AP) bekalan makanan untuk negara," katanya.

Sementara itu, beliau menambah pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh agensi di bawah KPLB ini bagi menyokong dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Abdul Rahman berkata, antara projek yang dilaksanakan adalah Projek Tanaman Fertigasi yang dijadikan sebagai aktiviti penambahan pendapatan peserta kepada Pertubuhan Wanita Dinamis Felcra (WADIRA) dan golongan belia.

”Setiap pertubuhan ini akan menerima insentif berbentuk 'start-up grant' serta konsultansi. Projek ini turut fokuskan kepada pembekalan keperluan makanan kepada masyarakat setempat membuka peluang pekerjaan.

"Projek yang telah dilaksanakan bermula tahun 2019 ini akan dilaksanakan secara lebih komprehensif dan dilaksanakan di seluruh Malaysia. Sehingga kini, projek ini telah memberikan impak positif di mana 35 buah projek telah membuahkan hasil dan beroperasi tanpa gagal," ujarnya lagi.

Tambahnya, KPLB turut menyediakan latihan dan kursus jangka pendek untuk orang ramai menceburi bidang pertanian seperti Kolej Universiti Agrosains Malaysia di bawah RISDA selain institusi lain di bawah agensi kementerian tersebut.