Tiga rakyat Malaysia ditahan cuba seludup dadah di Singapura

Tiga rakyat Malaysia ditahan susulan cubaan menyeludup dadah di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu. - Gambar hiasan
Tiga rakyat Malaysia ditahan susulan cubaan menyeludup dadah di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - [DIKEMAS KINI] Tiga rakyat Malaysia ditahan susulan cubaan menyeludup kira-kira 17,704 gram heroin, 261g syabu dan 2g pil ekstasi di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu digagalkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

Penemuan itu mendorong operasi penguatkuasaan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), di mana sejumlah tiga lelaki warga Malaysia berumur antara 23 dan 28 tahun termasuk pemandu kereta telah ditahan di lokasi berbeza di Singapura dalam tempoh dua hari.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai hampir S$1,295,000 dan mencukupi bagi menampung penggunaan kira-kira 8,430 penagih heroin dan 150 penagih syabu untuk seminggu,” menurut ICA dan CNB dalam satu kenyataan bersama.

Pada petang 18 Mei, kereta yang didaftarkan di Malaysia memasuki lorong pemeriksaan imigresen di Zon Ketibaan dan menjalani pemeriksaan rutin.

“Bungkusan dipercayai dadah ditemui dalam bonet kereta. Pemandu warga Malaysia berusia 28 tahun segera ditahan dan dirujuk kepada CNB untuk siasatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam operasi susulan dijalankan pada awal pagi 19 Mei, CNB berjaya menahan dua lelaki warga Malaysia disyaki penerima bungkusan itu di sekitar Bedok North Street 1.

Siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan, kata pihak berkuasa. - Bernama