PRU15: Ka Siong gesa MCA kerja keras

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong Ka Siong menyaksikan Majlis Menandatangani Kepala Perjanjian antara Victoria STS Sdn Bhd dan Fendercare Marine Asia Pacific Pte Ltd, pada Jumaat. Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong Ka Siong menyaksikan Majlis Menandatangani Kepala Perjanjian antara Victoria STS Sdn Bhd dan Fendercare Marine Asia Pacific Pte Ltd, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Jumaat menggesa parti itu supaya bekerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana masa depannya terletak di tangan rakyat.

"Sudah tentu, saya satu-satunya daripada MCA yang terselamat (dalam PRU lepas) dan menteri tunggal MCA di dalam kabinet, oleh itu sebagai parti kami perlu bekerja keras, kami tidak mahu terlalu yakin, kami perlu memahami masalah rakyat dan mengatasinya...barulah kamu akan mendapat sokongan.

Untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat, sesuatu yang amat penting, MCA di seluruh negara akan memberikan yang terbaik dan akhirnya rakyat akan menilai sama ada kami telah melakukan secukupnya untuk mereka,” kata beliau.

Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian kepada wartawan selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kepala Perjanjian antara Victoria STS Sdn Bhd dan Fendercare Marine Asia Pacific Pte Ltd berkenaan kerjasama pemindahan kargo antara kapal ke kapal.

"Yang pentingnya, kita perlu kestabilan dan kerajaan yang kuat untuk rakyat dan bagi MCA, saya rasa ada peluang 50:50 dalam pilihan raya nanti. Kami perlu bekerja keras, masih ada lagi ruang untuk penambahbaikan...kembali kepada rakyat dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Ka Siong memenangi Parlimen Ayer Hitam dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan 17,076 undi mengatasi calon DAP dan Pas yang masing-masing memperoleh 16,733 dan 4,975 undi. - Bernama