Kementerian Pengangkutan mahu jadikan Labuan hab maritim serantau

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

LABUAN - Kementerian Pengangkutan (MOT) mendapati Labuan amat berpotensi untuk dijadikan hab maritim serantau berikutan pembangunan industri maritim di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Labuan yang terletak secara strategik di tengah-tengah Asia Tenggara dan kedalaman semula jadi perairannya boleh dibangunkan menjadi sebuah negeri ekonomi yang rancak.

"MOT berpendapat Labuan mempunyai ramuan untuk menjadi hab maritim di rantau ini dan kita harus berusaha untuk merealisasikan rancangan ini.

"Kami mahu menjadikan Labuan sebagai pulau yang mampu merangsang ekonomi terutamanya dalam sektor berkaitan maritim untuk kesejahteraan rakyat di sini dan MOT berpendapat industri maritim boleh menjana aktiviti ekonomi untuk penduduk Labuan,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dasar induk antara Victoria STS Sdn Bhd dan Fendercare Marine Asia Pacific Pte Ltd berhubung kerjasama pemindahan kargo dari kapal ke kapal.

Beliau berkata, perkhidmatan pemindahan kargo dari kapal ke kapal (STS) yang baru diperkenalkan di had pelabuhan Labuan di Teluk Victoria adalah bukti yang menunjukkan potensi pulau itu untuk menjadi hab maritim serantau.

"Apabila kami menerima penilaian penyelidikan (risk) marin (MRA) daripada pengendali STS, Victoria STS Sdn Bhd, kita dapat melihat potensi aktiviti maritim ini bagi menjana aktiviti ekonomi di Labuan.

"Dan setelah diberi taklimat oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) dan mengkaji secara menyeluruh aktiviti STS ini serta kesan ekonominya kepada masyarakat setempat, kami mengeluarkan permit kepada operator untuk menjalankan STS di perairan Labuan, yang agak jauh dari Labuan Liberty Wharf.

Ka Siong berkata, kementeriannya meluluskan enam kawasan dermaga untuk STS, bagi membolehkan 12 kapal induk mengendalikan STS pada satu-satu masa.

"Dengan enam kawasan dermaga yang diluluskan untuk STS, Labuan mempunyai antara kemudahan STS terbesar bersama pelabuhan lain di Semenanjung Malaysia seperti di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Johor Tanjung Pelepas dan Pulau Bunting/Yan, Kedah.

"Dan antara potensi kelebihan kemudahan STS di Labuan ialah kawasan itu strategik dan dilindungi daripada cuaca yang tidak menentu dan bencana alam seperti taufan," katanya

Tambah beliau, perkhidmatan STS boleh menjadikan Labuan sebagai hab maritim, dengan rancangan jangka panjang daripada LPA untuk membangunkan lagi pelabuhan itu dalam masa terdekat.

Victoria STS yang berpangkalan di Labuan membuka lembaran baharu dalam pengendalian kargo, menjalankan operasi pemindahan minyak mentah dari kapal ke kapal (STS) buat kali pertama di had pelabuhan Labuan di Teluk Victoria pada 10 Mei.

Syarikat itu yang memiliki kepakaran dalam pengendalian luar pesisir bagi gas cecair dan kargo petroleum pukal, menerima lesen pertamanya pada 31 Julai, 2021 untuk menjalankan operasi STS bagi produk minyak dan gas cecair. - Bernama