Mansuhkan AP bukan penyelesaian kenaikan harga: Anthony

Anthony
Anthony
A
A
A

GEORGETOWN - Isu kenaikan harga barangan makanan dan inflasi tidak akan selesai sekiranya kerajaan hanya memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan sahaja.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan perlu membuat perbincangan yang lebih komprehensif mengenai perancangan dalam menyelesaikan masalah kenaikan harga barang.

Menurutnya, ia termasuk melakukan koordinasi dengan pelbagai kementerian bagi memastikan isu kenaikan harga barang dapat ditangani dengan sebaiknya.

“Isu ini melibatkan rakyat. Pemansuhan AP terhadap barangan makanan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan inflasi.

“Ia ada banyak faktor seperti masalah orang tengah, peraturan yang perlu dikaji semula dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Komtar, di sini pada Jumaat.

Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat yang pertama terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, DAP akan mengumumkan pendirian serta cadangan penyelesaian kenaikan harga barang selepas satu kertas dasar berhubung inflasi dan kenaikan harga barang siap kelak.

Beliau berkata, draf kertas dasar tersebut sedang diuruskan penasihat dasar DAP, Tony Pua.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya pada Rabu bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.