X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

MTUC gesa PM campur tangan pengendalian Perkeso

Kenyataan media MTUC pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam pengendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharun Mansor berkata, campur tangan itu perlu bagi mengelakkan sebarang ketirisan dana berlaku.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan siasatan dilakukan untuk memberi keyakinan pekerja terhadap dana masa hadapan selain digunakan untuk pekerja sahaja.

“Tindakan Perkeso menukar tuntutan pekerja Orang Berinsuran (OB) bagi tuntutan kes Covid-19 daripada faedah Hilang Upaya Sementara kepada faedah Penyakit Khidmat merupakan langkah kebelakang.

“Alasan Perkeso adalah kerana negara menuju ke peralihan endemik. MTUC mengecam tindakan pengurusan Perkeso kerana membuat keputusan tanpa memahami keperluan pekerja bawahan jika didapati menghidap Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 3 April, Perkeso dalam kenyataan berkata, kes berkaitan Covid-19 akan diproses di bawah kategori Penyakit Khidmat bermula 1 April.

Tambah Perkeso, selain Covid-19 antara penyakit berjangkit lain yang turut diletakkan di bawah kategori Penyakit Khidmat ialah jangkitan virus Nipah, tuberkulosis (batuk kering) dan leptospirosis (penyakit kencing tikus).

Tanbah beliau, pengurusan Perkeso sepatutnya mendapat maklum balas daripada pekerja sebelum membuat keputusan sedemikian.

Jelasnya, perkara tersebut akan menyulitkan lagi pekerja terutama di peringkat bawahan.

“Faedah ini berjaya mengurangkan tekanan kepada pekerja apabila terkena Covid-19,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap dana yang diperoleh Perkeso merupakan sumbangan pekerja dan majikan untuk menjaga kebajikan pekerja.

“Dana Perkeso bukan hanya untuk kegunaan membina studio, membayar pampasan kepada pengurusan tertinggi tetapi bertujuan untuk faedah pekerja,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!