Jadikan madu lebah sebagai makanan lestari

Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara tropika yang sangat kondusif secara semula jadi bagi penternakan lebah tidak harus disia-siakan. (Gambar hiasan)
Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara tropika yang sangat kondusif secara semula jadi bagi penternakan lebah tidak harus disia-siakan. (Gambar hiasan)
A
A
A

SHAH ALAM – Industri penternakan lebah madu perlu dikomersialkan bagi menjadikan madu lebah sebagai makanan lestari.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norhasnida Zawawi berkata, tahap kesedaran penduduk Malaysia mengenai penternakan lebah yang lestari dalam menghasilkan madu lebah masih rendah.

Menurutnya, masih banyak pokok di kawasan hutan yang ditebang dalam usaha mendapatkan sarang lebah untuk penternakan.

"Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara tropika yang sangat kondusif secara semula jadi bagi penternakan lebah terutamanya lebah daripada spesies kelulut tidak harus disia-siakan.

“Secara keseluruhannya banyak manfaat dari segi peningkatan ekonomi rakyat dan negara melalui persekitaran yang bersih, peningkatan hasil tanaman dan penternakan serta taraf kesihatan rakyat yang lebih baik boleh diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sekiranya dilakukan dengan betul, tidak mustahil Malaysia akan menerajui dunia dalam bidang penternakan lebah madu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian UPM, Dr Syari Jamian berkata, dengan meningkatkan penternakan lebah, bilangan pokok yang ditanam semakin meningkat, hasil pertanian semakin bertambah dan kualiti udara juga menjadi semakin bersih.

Jelasnya, umum mengetahui bahawa lebah merupakan agen penting untuk proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan.

“Pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem lebah amat penting bagi mengimbangi alam sekitar. Tanpa lebah, tanaman tidak dapat menghasilkan buah-buahan yang kita nikmati pada masa kini,” katanya.