MOTAC lancar Pelan Pemulihan Pelancongan, lagu Cuti-Cuti Malaysia

Nancy Shukri - Foto Bernama
Nancy Shukri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia pada Selasa melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik seiring peralihan ke fasa endemik.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancaran pelan itu bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa.

“Langkah ini seterusnya mampu merangsang permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang jejantas agar kekal berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, MOTAC memaklumkan, Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

"Pemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April lalu melibatkan dua kluster iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.

“Inisiatif ini bakal diperluaskan secara berperingkat melibatkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman teman,” ujarnya.

MOTAC berkata, di bawah Kluster Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia telah menjalin kerjasama strategik bersama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 hingga RM15 yang bakal memanfaatkan seramai 64,675 pengguna.

“Pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi KLIA Ekspres dan KTM Mobile secara dalam talian atau mesin tiket,” ujarnya.

Di bawah Kluster Persatuan Pelancongan kata MOTAC, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA).

“Penawaran pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar boleh dibuat menerusi aplikasi e-marketplace Shopee,” jelasnya.

Menurutnya, rakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas bermula pada 29 April sehingga 31 Oktober tahun ini bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember 2022.

“Setiap pengguna atau pemegang MyKad layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay.

“Dianggarkan seramai 14,925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2,985,000,” katanya.

MOTAC pada masa sama turut mengumumkan lagu Kempen Cuti-Cuti Malaysia versi kedua bertajuk ‘Menemui Semula’ nyanyian Aina Abdul yang bergenrekan pop etnik dengan kombinasi aliran 'world music', hip hop dan 'electronic dance music' (EDM) dilancarkan selari dengan fokus kerajaan bagi memperkasa pelancongan domestik.

Katanya, lirik lagu itu ditulis oleh James Boyle hasil gubahan komposer Ananth Kumar dan ia turut menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang dan gendang.

Selain itu tambahnya, lagu tersebut antara lain menyelitkan mesej penerokaan pengalaman melancong di dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama keluarga tersayang.

Video muzik tersebut boleh dilayari di laman YouTube Malaysia Truly Asia di https://www.youtube.com/watch?v=tYQ6CJAvKDA.

Berikut merupakan lirik lagu ‘Menemui Semula’

Intro Vocal

Di bawah langit biru

Menghayati pentas keindahan

Bercuti dalam negara

Yang penuh keistimewaan

Menemui semula keindahan Malaysia

Menggamitku kembali

Cuti-Cuti Malaysia

Cuti-Cuti Malaysia

Rap Verse 1:

Jom bercuti semua

Rehatkan minda bersuka ria

Dengan keluarga tersayang

Kawan-kawan pasti riang

Kaya dengan sejarah

Berbilang bangsa, adat dan budaya

Alam semulajadi

Penuh dengan warna warni

Malaysia mempesona

Semuanya kita ada

Malaysia mempesona

Di mata dunia

Chorus

Jom Cuti-Cuti Malaysia bersama

Memori indah pastinya kekal di hati

Menikmati keindahan alam semulajadi

Menggamitku kembali

Rap Verse 2:

Cuti-Cuti Malaysia

Dari desa hingga ke kota

Pelbagai destinasi

Untuk diterokai

Malaysia mempesona

Semuanya kita ada

Malaysia mempesona

Di mata dunia

Chorus

Jom Cuti-Cuti Malaysia, bersama

Memori indah pastinya kekal di hati

Menikmati keindahan

Alam semulajadi

Menggamitku kembali

Outro Chorus

Marilah bersama, nikmati keindahan

Pantai yang terindah, senyuman yang menawan

Menemui semula keindahan Malaysia

Menggamit ku kembali

Music bridge

Cuti-Cuti Malaysia

Cuti-Cuti Malaysia