Atasi segera kekurangan pekerja di sektor pelancongan

 Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kekurangan pekerja di sektor pelancongan perlu diatasi segera.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, negara sudah pun berada dalam fasa peralihan ke endemik dan banyak sektor pelancongan mula dibuka, termasuklah sempadan negara.

“Saya melihat kekurangan pekerja dalam sektor ini boleh dijadikan tawaran peluang pekerjaan kepada warga tempatan, termasuklah mereka yang terkesan disebabkan pandemik dan dibuang kerja,” katanya menerusi catatan di Facebooknya pada Selasa.

Menurutnya lagi, isu yang berlaku memberikan kesan langsung kepada sektor tersebut di samping menjejaskan aktiviti memacu ekonomi negara.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sektor pelancongan negara kini berhadapan kekurangan kira-kira 15,000 hingga 20,000 orang pekerja

Beliau berkata, anggaran tersebut diperoleh daripada data persatuan-persatuan pelancongan tempatan dan masalah itu bukan hanya dihadapi oleh sektor itu malah melibatkan keseluruhan industri lain dalam negara.

Nancy berkata, kerajaan kini sedang berusaha menangani isu tersebut termasuk dengan membawa masuk pekerja dari luar negara.

Jelasnya, majikan disaran supaya mengambil pekerja tempatan, selain menjangkakan masalah tersebut dapat diselesaikan dalam satu ke dua bulan lagi terutama apabila negara kini sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.