Kolaborasi penguat kuasa antara agensi perangi jenayah rentas sempadan

Hamid (tengah) ketika sidang media selepas Seminar Penguatkuasaan Maritim di Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini pada Selasa.
Hamid (tengah) ketika sidang media selepas Seminar Penguatkuasaan Maritim di Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 340 kes jenayah direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak Januari sehingga April.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, ia merangkumi penyeludupan dadah, ketum, barang kawalan bersubsidi, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pencerobohan bot nelayan asing.

"Kes jenayah maritim ini turut melibatkan akta-akta yang tertakluk di bawah bidang kuasa jabatan serta agensi tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya (ADB 1969), Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1957/63, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 serta lain-lain akta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Seminar Penguatkuasaan Maritim di Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai program katanya, penganjuran seminar ini bertujuan memperkasakan kolaborasi penguatkuasaan antara agensi di dalam membanteras dan memerangi jenayah maritim terutamanya aktiviti jenayah rentas sempadan yang melibatkan ATIPSOM.

"Seminar yang julung kali dianjurkan ini dilaksanakan secara hybrid dengan melibatkan penyertaan daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin PDRM (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Perikanan (DOF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Beberapa kertas kerja berkaitan cabaran dalam penguatkuasaan serta perundangan Akta-akta Maritim turut dibentangkan oleh agensi terlibat untuk dibincangkan secara dua hala bagi mendapatkan kesepakatan bersama," katanya.

Tambahnya, kejayaan kerjasama dengan pelbagai agensi berjaya direalisasikan menerusi Op khas gabungan seperti Op Naga, Op Benteng Laut dan Op Mardof.

Artikel Berkaitan:

Antara operasi yang dilaksanakan Maritim Malaysia di sekitar perairan negara.
Antara operasi yang dilaksanakan Maritim Malaysia di sekitar perairan negara.

"Melalui OP Naga, Maritim Malaysia merekodkan 490 tangkapan bot nelayan asing dengan penahanan seramai 3,589 kru warga asing, rampasan bernilai RM735 juta dan menyumbang sejumlah RM382.9 juta kepada hasil kerajaan melalui lelongan, denda dan kompaun.

"Bagi Op Benteng Laut, Maritim Malaysia merekodkan 5,572 kes dengan penahanan seramai 19,805 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai kewarganegaraan termasuk tekong dan ejen, selain itu, rampasan bernilai RM856,179,920 direkodkan ke atas kes-kes penyeludupan manusia, dadah, contraband serta barangan kawalan lain.

"Op Mardof yang menumpukan fokus kepada kesalahan-kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 turut menghasilkan impak positif dengan merekodkan 26 kes yang membabitkan bot nelayan tempatan dan asing," ujarnya.

Jelasnya, Maritim Malaysia melihat perlunya satu persefahaman, kesepakatan serta kolaborasi antara agensi terlibat dalam aspek penguatkuasaan dan perundangan Akta-akta Maritim.

"Ini bagi mewujudkan keseragaman pelaksanaan secara kolektif demi mengatasi situasi `grey area’ yang membabitkan keselarasan penguatkuasaan serta pertindihan kuasa.

"Maritim Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada hasil kesepakatan melalui Seminar Penguatkuasaan Maritim ini dalam menguatkuasakan Undang-Undang Persekutuan di perairan negara yang seluas 614,000 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 6,036.7 kilometer ini," katanya.