[VIDEO] Kontraktor mengaku tidak bersalah tikam isteri dengan pisau

Mohd Ghazali (baju putih) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Mohd Ghazali (baju putih) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya pada Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Ghazali Nor Hisham, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mohd Ghazali didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 32 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang, kira-kira jam 10.30 pagi pada 13 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun, denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairi Mohamed Said tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah ikat jamin RM20,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara mereka.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya mahkamah membenarkan dirinya dijamin.

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Seri Alam sebulan sekali selain menyerahkan pasport antarabangsa dan dilarang mengganggu mangsa atau mana-mana pendakwaan.

Kes kemudian ditetapkan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen pada 19 Jun nanti.