JPJ keluar 64 saman libat kesalahan cermin gelap, nombor plat

Antara kenderaan yang diperiksa dalam Ops Khas Nombor Pendaftaran dan Cermin Gelap di sekitar pusat Bandaraya Kuantan pada Ahad. - Foto FB JPJ Pahang
Antara kenderaan yang diperiksa dalam Ops Khas Nombor Pendaftaran dan Cermin Gelap di sekitar pusat Bandaraya Kuantan pada Ahad. - Foto FB JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 64 saman bagi kesalahan cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dalam Ops Khas Nombor Pendaftaran dan Cermin Gelap di sekitar pusat Bandaraya Kuantan pada Ahad.

Daripada jumlah notis saman itu, 28 saman melibatkan kesalahan pemasangan cermin gelap tanpa kelulusan dan 36 saman kerana menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, melalui operasi yang dijalankan anggota Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ Pahang itu, sebanyak 73 kenderaan telah diperiksa.

Menurutnya daripada jumlah kenderaan diperiksa itu, 22 kenderaan terdiri 14 kereta dan lapan motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan

"Pengunaan cermin gelap tanpa kebenaran satu kesalahan serius kerana ia boleh mengundang pelbagai bahaya kepada pengguna jalan raya lain apabila memandu pada waktu malam dan ketika cuaca buruk.

"Tahap ketelusan cahaya bagi cermin hadapan dan bahagian pemandu sesebuah kenderaan mestilah mengikut tahap yang dibenarkan," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Kamarul Iskandar berkata, bagi kesalahan memperagakan nombor pendaftaran mengelirukan, pihak terlibat boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.