X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

TMJ, isteri santuni Bella dan kanak-kanak istimewa

Che' Puan Besar Khaleeda (dua dari kanan) beramah mesra bersama Bella (tiga dari kanan) pada majlis berkenaan.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli meluangkan masa bersama kanak-kanak istimewa di Taman Tema Legoland, di sini pada Ahad.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Tunku Ismail bersama isteri, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam turut berkesempatan bertemu kanak-kanak sindrom down yang kini berdepan perbicaraan kes penderaan dikenali sebagai Bella.

“Diharapkan kanak-kanak ini menikmati masa mereka sepanjang berada di Legoland. Semoga ini dapat memberi sedikit keceriaan dan kegembiraan kepada mereka.

“Amat penting untuk golongan ini diberi perlindungan sewajarnya dan mereka juga berhak untuk menjalani kehidupan biasa seperti insan lain,” menurut hantaran tersebut, pada Ahad.

Tunku Ismail (tengah) bersama Che' Puan Besar Khaleeda berangkat ke Taman Tema Legoland untuk menyantuni kanak-kanak istimewa pada Ahad. Foto: Ihsan Facebook HRH Crown Prince Of Johor
Tunku Ismail (tengah) bersama Che' Puan Besar Khaleeda berangkat ke Taman Tema Legoland untuk menyantuni kanak-kanak istimewa pada Ahad. Foto: Ihsan Facebook HRH Crown Prince Of Johor

Sebelum ini, kisah Bella mulai mendapat liputan meluas di seluruh Malaysia yang mana kanak-kanak itu didakwa telah didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31.

Tunku Ismail menjadi antara yang lantang bersuara mengenai kes penderaan itu selain berkenaan menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan Bella.

Tunku Ismail juga pernah mengadakan beberapa pertemuan bersama pihak berkaitan termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bagi mendapatkan taklimat daripada kementerian apakah langkah yang mahu diambil.

Dalam pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan bagi memastikan kes membabitkan Bella tidak berulang termasuk penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 yang perlu dilakukan segera.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!