Langkah Bank Negara tidak tambat ringgit sebagai pragmatik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah Bank Negara Malaysia untuk tidak menambat ringgit walaupun mata wang Malaysia pada masa ini lemah merupakan langkah optimis dan pragmatik berdasarkan sistem perbankan yang mempunyai permodalan yang baik.

Ringgit lemah tidak semestinya sesuatu yang tidak baik berikutan mata wang yang lemah mengikut teori akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan menggalakkan eksport.

Ringgit ditutup pada minggu ini pada Jumaat lepas pada 4.3980/3995 berbanding dolar AS daripada 4.3935/3945 pada Khamis. Pada awal bulan ini, ia jatuh kepada 4.36, paras terendah sejak dua tahun lepas.

Prognosisnya adalah lebih baik membenarkan ringgit kekal terapung berdasarkan permintaan dan penawaran pasaran dengan beberapa kawalan, seperti yang dilakukan Malaysia.

Menambat mata wang tidak dapat dilakukan kecuali dengan kawalan modal.

Jika kadar pertukaran adalah tetap tetapi mata wang mengalir dengan bebas, negara tidak dapat mengekalkan rizab asing yang mencukupi untuk mengekalkan kestabilan ekonomi. Ia boleh menjadi bankrap.

Sebaliknya, semasa krisis kewangan Asia 1997-1998, ringgit mendapat serangan spekulatif dan jatuh kepada 5.20 berbanding dolar AS.

Kerajaan wajar mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit pada RM3.80 berbanding dolar.

Bagaimanapun, senario semasa adalah berbeza berikutan sistem perbankan mempunyai permodalan yang baik dan amat cair dengan kualiti aset yang kukuh, serta ringgit tidak menerima serangan spekulatif.

Jika kawalan modal untuk menghentikan aliran keluar mata wang asing dikenakan, ia akan menjejaskan keyakinan pelabur asing dan semua dana asing akan menarik diri, sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan berikutan ekonomi mula pulih.

Ini akan menjejaskan status pasaran saham dan sentimen dalam kalangan pelabur asing, yang akan mengetepikan negara jika ia mengenakan kawalan modal.

Terdapat hubungan antara kadar faedah dan pertukaran asing.

Kawalan modal diperlukan untuk sebarang kadar pertukaran tetap; jika tidak negara akan bankrap seperti Sri Lanka berikutan kekurangan rizab mata wang asing untuk membayar import.

Selepas mata wang ditambat, kadar faedah akan menjadi satu-satunya instrumen untuk negara perlu menyesuaikan dengan pengurusan mata wang asing.

Hong Kong telah mempunyai sistem mata wang tetap selama bertahun-tahun, dan ia menghadapi banyak masalah.

Selain itu, di Malaysia, pelarasan kadar faedah untuk mengawal pertukaran asing akan bertentangan dengan keupayaan bank pusat untuk melaraskan kadar faedah untuk mengawal kos pembiayaan dan deposit.

Mana-mana ekonomi terbuka mungkin tidak boleh mempunyai mata wang tetap melainkan ia didorong oleh kuasa pasaran, berikutan spekulator akan membuat taruhan terhadap tambatan.

Menambat mata wang sentiasa dikaitkan dengan negara yang menghadapi krisis kewangan apabila mereka tidak dapat memenuhi obligasi kewangan mereka.

Oleh itu, negara akan memilih untuk melanggar obligasi mereka dengan membenarkan hanya pembayaran pertukaran tertentu dilakukan, mewujudkan kadar pertukaran rasmi rekaan dan pasaran mata wang asing alternatif di luar negara.

Langkah itu juga boleh menggalakkan penyorokan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan kematangan kewangan dan reputasi ekonomi.

Malaysia masih menarik pelaburan langsung asing dengan perniagaan yang meningkat selepas sekatan pergerakan ditarik balik akibat pandemik Covid-19 yang melanda.

Berdasarkan senario sedemikian apabila mata wang tempatan terjejas oleh faktor luaran, bank pusat dan kerajaan adalah wajar untuk tidak menambat ringgit. - Bernama