Sorok pil yaba, heroin dalam kotak rokok

Polis merampas 405 biji pil yaba dan 0.18 gram heroin yang disorokkan di dalam kotak rokok selepas menahan seorang buruh dalam serbuan pada Sabtu.
Polis merampas 405 biji pil yaba dan 0.18 gram heroin yang disorokkan di dalam kotak rokok selepas menahan seorang buruh dalam serbuan pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Polis merampas 405 biji pil yaba dan 0.18 gram heroin yang disorokkan di dalam kotak rokok selepas menahan seorang buruh dalam serbuan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semasa melakukan Op Samseng Jalanan pada jam 6.30 petang pihak polis telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Slow Machang di sini.

"Anggota dari Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas terus mengekori kereta tersebut dan bertindak menahan kereta yang dipandu oleh suspek di Kampung Gelong Gajah, Bunut Susu untuk siasatan lanjut.

"Bertempat di Balai Trafik Pasir Mas, anggota bertugas telah membuat pemeriksaan tubuh badan terhadap lelaki tersebut dan menjumpai satu kotak rokok berwarna merah dalam poket seluar sebelah kanan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai pil yaba sebanyak 405 biji dan heroin 0.18 gram yang dianggarkan bernilai RM4,085.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai lima rekod lampau.

Mohd Nasaruddin berkata, suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan memperoleh bekalan daripada seorang lelaki yang tinggal di Limbat, Pasir Mas.

Katanya, kali terakhir suspek mengambil bekalan dadah tersebut itu pada Sabtu jam 3 petang di Kampung Gelong Gajah.

"Kes ini akan disiasat bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.