Rohaidee mahu terus beri inspirasi 'formula petak ajaib'

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (kiri) menyampaikan anugerah guru inspirasi McDonald’s kepada guru SK Tun Syed Ahmad Sahhabudin dari Melaka, Rohaidee Mustafa (tengah) sempena sambutan Hari Guru tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan kampus Bachok, pada Sabtu. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (kiri) menyampaikan anugerah guru inspirasi McDonald’s kepada guru SK Tun Syed Ahmad Sahhabudin dari Melaka, Rohaidee Mustafa (tengah) sempena sambutan Hari Guru tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan kampus Bachok, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BACHOK - Formula Petak Ajaib dalam subjek Sains bagi sekolah rendah yang diperkenalkan sejak 2002 telah menobatkan Rohaidee Mustafa antara 25 pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2022 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Anak jati kelahiran Melaka berusia 55 tahun itu tidak menyangka prinsip hidupnya 'mendidik anak orang seperti anak sendiri' benar-benar memberi impak luar biasa sehingga melahirkan ramai murid mencapai keputusan cemerlang dalam subjek Sains.

"Ketika mula-mula mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang pada 2001, saya ditugaskan mengajar subjek Sains di kelas Tahun 6 yang terakhir dan saya mendapati murid-murid amat lemah untuk menjawab kertas soalan Sains (Bahagian B) iaitu soalan berbentuk subjektif.

"Berkat pemerhatian dan pemantauan itu, saya telah mencari solusi bagaimana mengatasi isu ini dan mencipta satu formula untuk menyelesaikan soalan tersebut dengan mudah berpandukan teknik dinamakan Formula Petak Ajaib sehingga beberapa murid yang diajar berjaya mendapat keputusan gred A," katanya ketika ditemui pemberita di majlis Anugerah Guru Inspirasi McDonald's2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Sabtu.

Bercerita lanjut, Rohaidee yang ketika ini berkhidmat di SK Tun Syed Ahmad Shahabudin di Melaka sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid berkata, hasil formula yang diterapnya kepada murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah sama (SK Bukit Beruang) pada 2007, sebanyak 45 muridnya memperoleh gred A bagi subjek berkenaan.

"Selepas mengaplikasikan teknik Formula Petak Ajaib, keputusan UPSR bagi subjek Sains ini semakin membanggakan. Saya akan terus membuat kolaboratif dan perkongsian dengan memberi kelas bimbingan dan tunjuk cara kepada ibu bapa serta guru dari sekolah lain yang berminat menggunakan formula ini,” katanya.

Sementara itu, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar di Baling, Kedah, Mohammad Noor Azlan Idris atau lebih dikenali 'Ustaz Abah' menyifatkan kejayaan dikecapinya hari ini adalah berkat usaha dan ilmu yang dicurahkan kepada pelajarnya.

"Walaupun saya mengajar subjek Pendidikan Islam tetapi saya sentiasa mewujudkan suasana pembelajaran yang sangat menyeronokkan untuk menarik minat pelajar terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

"Saya juga telah membangunkan pusat pembelajaran tahfiz Al-Quran dalam pusat sumber sekolah yang pertama di Malaysia melalui Program Akademi Hafizul Quran (ALHAQ) di sekolah ini (SMK Syed Abu bakar) sehingga menerima anugerah Sijil Pencapaian Emas dalam Kolokium Amalan Terbaik Pusat Sumber Sekolah, Guru Perpustakaan dan Media Peringkat Kebangsaan 2022," katanya.

Sebelum, majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Mohd Radzi dalam ucapannya berkata, berdasarkan pembacaan hasil usaha yang dilakukan 25 guru itu, kesemua mereka menggunakan pendekatan untuk memastikan sekolah adalah ruang yang menyeronokkan.

"Itu adalah antara elemen utama Sekolahku Sejahtera. Pendekatan itu diperlukan kerana kita mahu melihat anak-anak bangun pagi dan pergi ke sekolah tanpa dipaksa kerana mereka menganggap sekolah adalah tempat menyeronokkan.

"Hari ini, kita bersaing atas tapak sains dan teknologi yang menjadi tunjang memerlukan anak-anak murid minat. Namun cabaran besar kita adalah untuk melahirkan murid yang mempunyai minat mendalam dalam bidang sains dan teknologi." katanya. - Bernama