KPM galak eksplorasi bidang sains, teknologi

Dr Mohd Radzi (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 kepada seorang guru orang kurang upaya (OKU), Huzaire Ahmad (dua dari kanan).
Dr Mohd Radzi (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 kepada seorang guru orang kurang upaya (OKU), Huzaire Ahmad (dua dari kanan).
A
A
A

BACHOK - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menggalakkan eksplorasi bidang sains dan teknologi dalam kalangan murid serta pelajar sekolah di seluruh negara menerusi Konsep Sekolahku Sejahtera.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pendekatan itu sejajar dengan arus kemodenan dan digitalisasi dalam banyak aspek kehidupan masa kini.

Menurutnya, bidang sains dan teknologi adalah salah satu daripada 14 elemen yang diperkenalkan dalam konsep tersebut bagi menghidupkan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan untuk anak-anak.

“Sama ada suka atau tidak, kita sekarang ini bersaing atas tapak digitalisasi dan bidang ini akan terus menjadi tunjang pemodenan dunia manakala anak-anak perlu dipastikan mempunyai minat dalam bidang ini.

“Jadi kita perlu mewujudkan persekitaran sekolah yang menyeronokkan sehingga membuatkan murid-murid rasa kosong sekiranya tidak hadir ke sekolah. Justeru, konsep Sekolahku Sejahtera pastinya akan digunakan untuk merapatkan anak-anak dan sekolah,” katanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) bergambar bersama 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada Sabtu.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) bergambar bersama 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai.

Ujar beliau, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi menarik minat murid dan pelajar menjelajah bidang sains dan teknologi.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 25 guru dari seluruh negara menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 atas usaha mereka mencipta inovasi, akses pembelajaran dan meningkatkan kecemerlangan akademik.

“Kesemua guru yang menerima anugerah ini adalah mereka yang menggunakan pendekatan dan ruang sewaktu di sekolah untuk mewujudkan elemen yang menyeronokkan kepada anak-anak.

“Kejayaan ini sangat berkait rapat dengan konsep Sekolahku Sejahtera yang diperkenalkan oleh KPM dan memberi manfaat terbaik kepada murid serta pelajar,“ katanya.