Sukan SEA: Sydney Chin dedikasikan pingat gangsa buat mendiang ibu

Sydney Chin bergambar bersama Jalur Gemilang dan pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara Taijiquan Wanita pada Sukan SEA ke-31 di Cau Giay Gymnasium, pada Sabtu. - Foto Bernama
Sydney Chin bergambar bersama Jalur Gemilang dan pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara Taijiquan Wanita pada Sukan SEA ke-31 di Cau Giay Gymnasium, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TIADA yang menggembirakan buat atlet wushu negara Sydney Chin Sy Xuan selain mendedikasikan pingat gangsa Sukan SEA ke-31, kepada mendiang ibunya yang meninggal dunia akibat masalah jantung, Isnin lepas (10 Mei).

Sydney Chin berkata, ibunya Hon Wai Cheng, 48, adalah individu penting yang sering memberi kata-kata semangat supaya beliau terus aktif dan mempamerkan prestasi cemerlang dalam sukan tersebut.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, ibunya meninggal dunia, sehari sebelum beliau berlepas ke Hanoi pada 11 Mei di kediaman mereka di Cheng, Melaka.

"Ketika itu saya berada di MSN (Majlis Sukan Negara), bapa beritahu ada berita sedih ibu meninggal dunia. Jadi pihak MSN uruskan untuk saya pulang ke Melaka.

Selepas itu jurulatih tanya sama ada saya mahu terus beraksi di Sukan SEA atau tidak.

"Saya beritahu jurulatih saya mahu beraksi di Hanoi dan saya gembira dapat meraih pingat gangsa. Saya dedikasikan pingat ini kepada ibu, dan percaya beliau akan bangga dengan kejayaan ini,” katanya dalam nada sebak dan berlinang air mata.

Pada aksi di Cau Giay Gymnasium di sini pada Sabtu, Sydney Chin meraih gangsa dalam acara Taijiquan Wanita setelah mengutip 9.68 mata, manakala rakan senegara Mandy Cebelle Chen di kedudukan ketujuh selepas mengumpul 9.41 mata.

Pingat emas dimenangi atlet Indonesia Alisya Mellynar yang memperoleh 9.71 mata, sementara pingat perak milik Agatha Chrystenzen Wong dari Filipina yang meraih 9.69 mata.

Sementara itu kem wushu negara gagal meneruskan kecemerlangan pada hari kedua sukan itu dipertandingakan selepas berjaya meraih dua pingat emas, pada Jumaat.

Dalam acara Nanquan Lelaki, Calvin Lee Wai Leong hanya menduduki tempat keenam setelah memperoleh 9.67 mata.

Pingat emas dimenangi atlet Brunei Mohammad Adi Salihin Roslan yang mengutip 9.71 mata, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing milik atlet Indonesia Harris Horatius dan peserta tuan rumah Nong Van Huu yang meraih 9.70 dan 9.69 mata.

Tan Zhi Yan yang beraksi dalam acara Taijijian Lelaki juga gagal menyumbangkan pingat apabila sekadar menduduki tempat keempat setelah mengumpul 9.68 mata.

Peserta Singapura Chan Jun Kai memenangi pingat emas selepas mengutip 9.72 mata, diikuti atlet Indonesia Nicholas Nicholasdan tempat ketiga menjadi milik Jones Llabres Inso dari Filipina, masing-masing meraih 9.71 dan 9.70 mata.

Skuad wushu juga gagal meraih pingat dalam acara Qiangshu Wanita setelah Pang Pui Yee menamatkan cabaran di kedudukan kelima dengan mengumpul 9.67 mata.

Atlet tuan rumah Duong Thuy Vi mengungguli acara itu apabila mengutip 9.70 mata, manakala pingat perak dan gangsa dimenangi peserta Myanmar Sandy Oo dan Dang Tieu Binh dari Vietnam, setelah masing-masing meraih 9.69 mata. - Bernama