Jenazah Iqbal Hasnun selamat dikebumikan di Johor

Jenazah Iqbal Hasnun dibawa keluar dari kediaman keluarganya untuk dibawa ke tanah perkuburan Islam Kampung Melayu Seelong di sini, pada Sabtu.
Jenazah Iqbal Hasnun dibawa keluar dari kediaman keluarganya untuk dibawa ke tanah perkuburan Islam Kampung Melayu Seelong di sini, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jenazah penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Iqbal Hasnun Halimi, 23, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Melayu Seelong di Senai di sini, pada Sabtu.

Jenazah Allahyarham Iqbal Hasnun dikebumikan kira-kira jam 7.45 pagi selepas tiba di kediaman keluargannya di Taman Impian Jaya, Senai kira-kira jam 6 pagi.

Bapanya, Halimi Ali Yahad, 50, berkata, keluarga menzahirkan kesyukuran terhadap semua pihak yang terlibat mendoakan kesejahteraan Allahyarham anaknya selepas tragedi menyayat hati itu.

"Ada buat solat hajat, membacakan doa, Yassin. Ia amat bermakna dan mempermudahkan urusan arwah kerana pada awalnya proses bagi menuntut jenazahnya dikatakan memakan masa lebih lima hingga enam hari.

"Selepas solat Jumaat semalam, ada petanda ketiga-tiga jenazah dapat dicam dan dapat dituntut pada hari sama (Jumaat).

"Kesemua keluarga berasa nikmat walaupun perit menerima kenyataan mereka sudah tiada dan nikmat paling besar adalah nikmat persaudaraan insan yang tidak kami kenal yang mengambil berat kebajikan dan kebaikan untuk kami,” katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Halimi (tengah) ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Seelong di sini, pada Sabtu.
Halimi (tengah) ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Seelong di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, jenazah Allahyarham Iqbal Hasnun bersama dua lagi rakannya perlu mengalami proses pengecaman DNA sebelum dibenarkan dituntut keluarga masing-masing pada tengah malam Jumaat.

Majlis pengebumian Iqbal Hasnun turut dihadiri ibunya, Nor Laila Paralan, 46; adik, Iqbal Hamdi, 19; Husna Hayati, 16, dan Aisyah Umairah, 4.

Difahamkan, keluarganya Iqbal Hasnun juga akan mengadakan kenduri tahlil kematian Allahyarham di kediaman keluarganya selepas ini.

Pada Rabu, media melaporkan lima sekawan yang dikenal pasti sebagai pelajar USAS maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah lori treler.

Kesemua mangsa juga dilaporkan rentung kerana terperangkap dalam kenderaan dinaiki mereka selepas dilanggar lori treler berkenaan dari arah belakang.

Empat lagi mangsa yang maut adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu kereta), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang hadapan), Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.