Fikir dua kali buat rumah terbuka

Kelihatan aktiviti jual beli di Pasar Besar Seremban. (Gambar kecil dari kiri: Azman, Sainon, Misah)
Kelihatan aktiviti jual beli di Pasar Besar Seremban. (Gambar kecil dari kiri: Azman, Sainon, Misah)
A
A
A

SHAH ALAM - “Jika dahulu ke pasar dengan hanya membawa RM50, sudah cukup membeli pelbagai barangan, tetapi sekarang tidak lagi”.

Itu keluhan orang ramai yang dilontarkan kepada Sinar Harian menerusi tinjauan dilakukan di Pasar Besar Seremban pada Jumaat.

Keadaan itu sekali gus membuatkan sesetengah orang berfikir dua kali untuk membuat rumah terbuka kerana perlu menyediakan bajet lebih bagi membeli barang keperluan memasak.

Seorang warga emas, Azman Baharudin, 62, berkata, kenaikan harga barangan ketika ini sangat membebankan orang ramai lebih-lebih lagi sepertinya yang tidak lagi bekerja.

“Jika dulu saya bekerja tiada masalah sangat nak beli apa-apa, tapi sekarang dah bersara. Jadi, bila keluar duit pergi pasar itu terasa sangat mahal harga barang sekarang.

“Macam udang segar, kalau dulu boleh lagi kita dapat RM20 sekilo, tapi sekarang harga naik sehingga RM30 ke RM39 sekilo,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mereka yang ingin membuat rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini perlu menyediakan bajet lebih.

Ia turut diakui Mohd Zairi Abdul Razak, 54, yang menjangkakan ramai terpaksa berfikir dua kali untuk membuat rumah terbuka kerana harga barangan makanan yang meningkat.

“Biasanya harga barang ini kalau dah naik, ia tidak akan turun melainkan bila kerajaan adakan program skim kawalan harga,” katanya.

Bagi pengusaha katering, Misah Yacob, 54, pula terpaksa mencatu membeli barangan di pasar kerana mahu mengikut bajet yang ada.

“Susah juga saya nak letak harga katering sekarang. Pelanggan nak murah dan sedap, tapi kos nak beli sayur-sayuran, ikan dan ayam itu dah meningkat.

“Sekarang ini kalau pergi pasar kena ada sekurang-kurangnya RM200 dalam tangan kerana harga barang-barang basah memang naik,” katanya.

Peniaga, Sainon Dahalan, 69, berkata, jika sebelum ini cili padi boleh dibeli dengan harga RM18 sekilo tetapi sekarang naik sehingga RM26 sekilo.

Katanya, kenaikan harga sayur-sayuran sangat membebankan peniaga kecil sepertinya yang membeli daripada peniaga di Pasar Besar Seremban sebelum menjualnya semula.

“Ulam pegaga pun dulu RM8 sekilo sekarang naik sekali ganda RM15 sekilo.

“Saya rasa orang nak buat rumah terbuka raya ini terasa bebannya,” katanya.

Situasi sama berlaku di KUANTAN di mana peniaga yang ditemui di Pasar Besar Kuantan mengakui pelanggan tidak ramai datang untuk membeli keperluan.

Peniaga ayam, Hamdan Alias, 55, berkata, urusan jual beli tidak semeriah tiga tahun lalu apabila kerap menerima tempahan daripada pelanggan yang mahu mengadakan jamuan raya.

“Tapi kali ini tidak kerana kebanyakan urusan jual beli lebih kepada memenuhi keperluan harian. Saya tidak nampak pelanggan berbelanja lebih untuk membuat persiapan jamuan rumah terbuka,” katanya.

Seorang lagi peniaga ayam, Ali Akbar Othman, 50, berkata, walaupun pelanggan berkurangan, namun permintaan ayam masih tinggi.

“Ayam segar sentiasa ada permintaan. Tapi yang menjadi masalah ialah bekalan tidak tetap diberikan pemborong,” ujarnya.

Peniaga ikan, Aish Abdul Rahman, 35, berkata, kebanyakan pelanggan tidak membeli dalam kuantiti yang banyak seperti persiapan raya penghujung April lalu.

Sebaliknya, kali ini mereka membeli apa yang diperlukan sahaja.

“Bekalan ikan masih mencukupi, tetapi pelanggan pula berkurangan. Ada pelanggan datang tapi tak beli, mereka sekadar melihat dan membuat tinjauan harga,” katanya.

Peniaga sayur, Roslina Ishak, 42, berkata, pengunjung ke kawasan itu untuk membeli barang keperluan sudah berkurangan sejak beberapa hari lalu selepas menyambut Aidilfitri.

“Perniagaan saya di pasar ini tetap berjalan seperti biasa bermula jam 6.30 pagi hingga 2 petang bagi, cuma bekalan sayur dikurangkan sedikit kerana pelanggan tidak ramai,” katanya.

Seorang suri rumah, Atikah Ismail, 32, berkata, tujuan dia ke pasar hanya sekadar mencari barangan keperluan harian dan bukan untuk persiapan rumah terbuka.

“Tahun ini tiada jamuan untuk majlis rumah terbuka, sebab kami sekeluarga sudah beraya di kampung halaman di Perak.

“Jadi untuk mengadakan lagi jamuan rumah terbuka kewangan tidak mengizinkan sementara menunggu cukup bulan ini,” tambahnya.

Lain pula situasi di SHAH ALAM, di mana segelintir pengunjung di Pasar Moden Seksyen 6, di sini mengeluh kerana sukar mendapatkan bekalan ayam untuk dijadikan juadah rumah terbuka pada hujung minggu ini.

Tinjauan di sini pada Jumaat mendapati, permintaan terhadap bekalan bahan mentah berkenaan meningkat berikutan orang ramai yang mula mengadakan rumah terbuka Aidilfitri kali ini.

Jumlah pengunjung ke Pasar Moden Seksyen 6, di sini meningkat pada jam 8 pagi hingga 9 pagi.
Jumlah pengunjung ke Pasar Moden Seksyen 6, di sini meningkat pada jam 8 pagi hingga 9 pagi.

Salah seorang pengunjung yang ingin dikenali Zainab, 60, meluahkan rasa kecewa apabila gerai yang selalu dikunjunginya kehabisan bekalan ayam pada jam 10 pagi.

Dia yang tinggal di Alam Damai, Seksyen 35 turut mendakwa harga barangan yang dibeli untuk menyediakan juadah rumah terbuka pada Sabtu mula meningkat.

“Tahun lepas, harga daun palas hanya RM4 seikat. Tapi tahun ini (harga daun palas) dah naik jadi RM5.

“Esok nak masak pelbagai juadah seperti ketupat palas, laksa, nasi tomato. Saya datang ke sini pada jam 10 pagi untuk membeli ayam, tapi ia sudah habis,” katanya yang merupakan pesara kerajaan.

Pengunjung, Amidin Abdullah, 60, turut meluahkan keluhannya tentang kesukaran mendapatkan bekalan ayam di TTDI Jaya, Glenmarie.

Katanya, keadaan tersebut memaksanya pergi ke pasar di sini walaupun perlu beratur panjang bagi mendapatkan bahan mentah berkenaan.

Gerai ayam jadi tumpuan orang ramai mendapatkan barangan mentah tersebut terutamanya untuk menyediakan juadah rumah terbuka hujung minggu ini. (Gambar kecil dari kiri: Suparno, Amidin)
Gerai ayam jadi tumpuan orang ramai mendapatkan barangan mentah tersebut terutamanya untuk menyediakan juadah rumah terbuka hujung minggu ini. (Gambar kecil dari kiri: Suparno, Amidin)

“Agak sukar untuk dapatkan bekalan ayam di sekitar rumah saya kerana banyak kedai kehabisan stok (ayam).

“Bila sampai ke sini, saya terpaksa beratur selama 45 minit untuk dapatkan bekalan ayam dan daging lembu,” katanya yang akan mengadakan parti hari lahir cucunya serentak dengan rumah terbuka pada Sabtu.

Mengulas lanjut tentang kesukaran mendapatkan bekalan ayam, peniaga, Suparno, 34, mengakui masalah kekurangan bekalan bahan mentah tersebut sejak Syawal.

Katanya, bekalan ayam harian yang diterimanya berkurang daripada 900 ekor kepada sekitar 700 ekor ayam sehari.

“Sebelum ini bekalan ayam boleh cecah sehingga 1,200 ekor sehari, tapi sekarang hanya 600 hingga 700 ekor.

“Tapi sejak orang ramai sudah mula mengadakan rumah terbuka, permintaan ayam semakin meningkat,” katanya.