Bina badan sumbang dua pingat di Hanoi 2021

Azri Asmat membawa pulang pingat perak dalam acara 55kg lelaki akhir di Hanoi Sports Training and Competition Centre pada Sukan SEA Hanoi 2021 pada Jumaat. - Foto Bernama
Azri Asmat membawa pulang pingat perak dalam acara 55kg lelaki akhir di Hanoi Sports Training and Competition Centre pada Sukan SEA Hanoi 2021 pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] ATLET bina badan menyumbang dua pingat iaitu satu perak dan satu gangsa, pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 di sini, selepas sembilan tahun sukan itu tidak dipertandingkan.

Azri Asmat Sefri, 29, membuat kejutan dengan meraih perak dalam kategori 55 kilogram (kg) pada hari pertama sukan tersebut di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya beraksi di kejohanan luar negara, sebelum ini hanya kejohanan domestik sahaja.

"Saya gementar juga kerana pesaing yang berpengalaman, namun tetap berpuas hati dengan keputusan ini," katanya selepas upacara penyampaian pingat.

Wakil tuan rumah Mach Pam Van memenangi emas, manakala Kyaw Min Than dari Myanmar memperoleh gangsa.

Pingat gangsa pula dihadiahkan oleh atlet berpengalaman Malvern Abdullah dalam kategori 65kg.

Vietnam merangkul emas menerusi Tung Dang Thanh, manakala Pongsiri Prommachan dari Thailand membawa pulang perak dalam acara tersebut.

Sementara itu, pengurus pasukan Syed Fairuz Syed Ali mengesahkan sandaran emas negara Syarul Azman Mahen Abdullah telah didapati positif Covid-19 semasa tiba di Hanoi Rabu lepas.

Artikel Berkaitan:

Namun, katanya juara dunia empat kali itu, yang turut dikenali sebagai Mike, telah dibenarkan untuk bertanding pada Ahad lepas, selepas keputusan ujian terakhir Covid-19 beliau didapati negatif.

"Ketika ujian pra perlepasan di Kuala Lumpur, (ujian) beliau negatif, tetapi ujian calitan selepas tiba di hotel penginapan di sini positif.

"Beliau tiada apa-apa simptom dan kini telah menamatkan kuarantin untuk meneruskan misi emas," katanya.

Kali terakhir bina badan dipertandingkan di Sukan SEA ialah pada edisi 2013 di Myanmar apabila Malaysia membawa pulang masing-masing satu emas, perak dan gangsa. - Bernama