16 PATI termasuk tiga kanak-kanak ditahan

PATI warga Kemboja termasuk tiga kanak-kanak yang ditahan dalam serbuan di Kampung Nibong, Tanah Merah pada Khamis.
PATI warga Kemboja termasuk tiga kanak-kanak yang ditahan dalam serbuan di Kampung Nibong, Tanah Merah pada Khamis.
A
A
A

TANAH MERAH - Polis menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Kemboja termasuk tiga kanak-kanak dalam serbuan di Kampung Nibong di sini pada Khamis.

Kesemua PATI yang berusia 10 hingga 45 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan migran pada jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, kesemua PATI itu ditahan semasa menaiki tiga buah kenderaan berasingan yang dipandu oleh warga tempatan dipercayai tekong darat.

"Bagaimanapun ketiga-tiga tekong darat itu melarikan diri ke kawasan semak berhampiran pangkalan haram Macang selepas kenderaan mereka ditahan untuk pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, PATI terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Kulai, Johor selepas memasuki negara ini menggunakan laluan tidak diwarta oleh kerajaan.

Beliau berkata, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati mereka dibawa masuk untuk tujuan bekerja.

"Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Nibong untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 26 J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/69.

"Pihak kami akan terus mempertingkatkan risikan dan maklumat serta memperketatkan kawalan di lapisan kedua dan ketiga kawasan sempadan antarabangsa bagi mengekang kemasukan PATI secara tidak sah," katanya.