RUU profesion kerja sosial dijangka dibentang di Parlimen tahun ini
DENGKIL - Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial (PKS) dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Draf akhir RUU PKS itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sebelum dibentangkan, katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di sini pada Jumaat.
Undang-undang itu akan membolehkan profesion kerja sosial diiktiraf melalui pendaftaran dan perakuan amalan yang dikawal selia oleh Majlis Profesion Kerja Sosial.
Rina berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengumpulkan input dan pandangan daripada pelbagai kementerian, jabatan kerajaan, badan profesional, ahli akademik dan individu berpengalaman dalam profesion kerja sosial bagi penggubalan RUU PKS itu.
Mengenai perkembangan remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, Rina yang menziarahi remaja berusia 13 tahun berkenaan di institusi jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Seremban, Negeri Sembilan sempena Aidilfitri berkata kesihatan dan emosi Bella bertambah baik.
"Alhamdulillah, saya lihat adik Bella kini sihat. Adik Bella semakin berkeyakinan bergaul bersama rakan-rakan penghuni," katanya.
Kisah Bella didakwa diabai dan dianiaya pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, mendapat perhatian rakyat Malaysia dan prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan masih berjalan.
Dalam program Ziarah Kasih pada Jumaat, Rina menyantuni R Theanmoli, 40, bagi menyampaikan surat kelulusan bantuan persekutuan di bawah Skim Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Pesakit Kronik Terlantar sebanyak RM500 sebulan serta barangan keperluan harian dan perubatan.
Kisah wanita yang menghidap penyakit kencing manis, asma dan obesiti itu mendapat perhatian susulan laporan akhbar tempatan mengenai kesusahan yang dihadapi dalam membesarkan dua anaknya yang berusia lima dan tujuh tahun setelah ditinggalkan suami sejak empat tahun lepas.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!