'Tun M memang bukan diktator, Pas tak perlu bodek'

Anwar ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anwar ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan seorang diktator.

Anwar sebaliknya, menegaskan, PH secara konsisten telah memilih dan menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Bagi kita tidak (bukan diktator). Secara konsisten, kita pilih Dr Mahathir dan kita sokong beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadi betulkan Nurul Izzah, Tun M bukan diktator

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwanya cuba ‘membodek’ Perdana Menteri.

“Abdul Hadi ini memang ikut rentak dan gendang, bukan ikut pandangan beliau sendiri.

“Pas nak kipas? Tak payahlah,” kritik Anwar berhubung kenyataan Presiden Pas yang ‘memperbetulkan’ dakwaan Nurul Izzah bahawa Dr Mahathir bukanlah seorang diktator.

Hari ini, Abdul Hadi ‘memperbetulkan’ dakwaan Nurul Izzah bahawa Perdana Menteri bukanlah seorang diktator.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Anwar ketika ditanya berkenaan laporan akhbar Straits Times, Singapura yang menemu bual anak sulungnya, Nurul Izzah.

Anwar memberitahu beliau faham dan prihatin tentang pandangan yang dikeluarkan oleh Nurul Izzah dan yakin kenyataan itu bukannya terlalu merujuk kepada Dr Mahthir.

“Temu bual itu sudah lama, namun, baru disiarkan. Saya tentu faham dan prihatin tentang pandangannya. Bukan sangat merujuk kepada Dr Mahathir tetapi kerana ada suara-suara sumbang yang tidak tahu perincian terus membuat serangan-serangan kepada kelompok lain

“Tapi saya fikir, tumpuan kita adalah ekonomi. Itu pertama. Keduanya kita dalam PH sudah jelaskan muafakat kita untuk memberi ruang menyokong usaha Dr Mahathir,” ujarnya.

Anwar yang juga Ketua Umum PH menjelaskan, beliau dan keluarganya memberikan sokongan penuh kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Tak bermakna kita tak boleh berbeza pendapat, atau beri teguran. Ada setengah orang fikir ini macam kerajaan UMNO dulu, tidak. Jadi kita beri ruang, tapi pendirian kita termasuk saya dan keluarga untuk beri sokongan dan ruang kepada Dr Mahathir sebagai pemimpin dan Perdana Menteri,” katanya.

Ditanya berkenaan teguran Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya terhadap Nurul Izzah yang dikatakan tidak sepatutnya mengeluarkan komen tidak baik terhadap Dr Mahathir apatah lagi menerusi wawancara dengan media Singapura pada Jumaat lalu.

Anwar menganggap itu hanya pandangan masing-masing, sebaliknya beliau mengingatkan semua pihak supaya faham dan setuju serta patuh kepada perjanjian persefahaman dalam PH, kemudian menumpukan kepada pembangunan ekonomi untuk membela rakyat.

“Temu bual itu sudah lama, tapi diperbesar oleh akhbar Singapura. Kita nak bergaduh, untuk apa,” soal Anwar.