[VIDEO] Keluarga masih terkejut dengan pemergian Iqbal

Iqbal (berdiri, kiri) bergambar bersama keluarga di rumah neneknya di Kampung Puteri Menangis Benut pada Syawal ketiga.
Iqbal (berdiri, kiri) bergambar bersama keluarga di rumah neneknya di Kampung Puteri Menangis Benut pada Syawal ketiga.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suasana suram dan pilu menyelubungi rumah keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Taman Impian Jaya Senai pada pagi Khamis.

Iqbal Hasnun Halimi, 23, antara lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora pada malam Rabu.

Bapa saudara mangsa, Mohd Hairudin Paralan, 38, berkata, kali terakhir dia bertemu Iqbal pada Sabtu lalu ketika keluarganya yang mengadakan jamuan hari raya.

Menurut beliau, Iqbal merupakan anak sulung daripada empat beradik dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di USAS.

"Saya masih lagi terkejut apabila dimaklumkan dengan nahas yang meragut nyawa Iqbal.

"Dia seorang yang baik dan mesra dengan semua sanak saudara, malah pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian ke luar negara. Namun tidak sangka, dia akan pergi lebih awal," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sanak saudara berkumpul membacakan surah Yasin di kediaman keluarga Iqbal di Taman Impian Jaya Senai pada Khamis.
Sanak saudara berkumpul membacakan surah Yasin di kediaman keluarga Iqbal di Taman Impian Jaya Senai pada Khamis.

Menurut Mohd Hairudin, ibu Iqbal, Siti Nor Laila Paralan, 46, bersama suaminya, Halimi Ali Yahad, 50, dan tiga anak mereka berusia 18 hingga empat tahun masih berada di Hospital Kuala Kangsar untuk menguruskan jenazah arwah.

"Saya diberitahu mereka sekeluarga bertolak ke Kuala Kangsar awal pagi, selepas mengetahui nahas yang meragut nyawa Iqbal.

"Kami sekeluarga masih menunggu khabar berita untuk urusan pengebumian di sini," katanya.

Sementara itu, nenek arwah, Painam Selamat, 82, berkata, nasi goreng yang menjadi menu kegemaran cucunya itu sempat disediakan pada Syawal ketiga ketika mereka sekeluarga pulang berhari raya di Kampung Puteri Menangis Benut.

"Pada Sabtu lepas, kami sekeluarga datang beraya ke rumah keluarga arwah di Senai. Arwah cukup ceria dan tiada sebarang sikap ditunjukkan," katanya.

Dalam pada itu, polis telah menahan reman pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan lima pelajar USAS.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tahanan ke atas lelaki berusia 28 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung selepas kereta dinaiki terbakar.

Mangsa dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.





BERITA SEMASA 12 MEI 2022

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah, Iqbal Hasnun Halimi yang maut dalam nahas melibatkan kereta dan treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar, Perak malam tadi, lapor wartawan Sinar Harian, Nor Azura Md Amin.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung selepas kereta dinaiki terbakar.

Mangsa dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Baca artikel penuh di sini: https://bit.ly/3Pit83u

Muzik: www.bensound.com

#SinarHarian #BeritaSemasa" />