Selangor Mega Job Fair tawar lebih 20,000 peluang pekerjaan

Gambar hiasan - Foto Edu Bestari
Gambar hiasan - Foto Edu Bestari
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 20,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Selangor Mega Job Fair yang bakal berlangsung pada 11 Jun dan 12 Jun depan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, program skala besar itu akan diadakan secara fizikal selepas dua tahun dijalankan secara hibrid susulan pandemik Covid-19.

Menurutnya, penganjuran Selangor Mega Job Fair adalah usaha berterusan oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan kadar pengangguran di Selangor.

"Kerajaan negeri memandang berat tentang kadar pengangguran yang direkodkan untuk Selangor pada suku pertama tahun 2022 iaitu sebanyak 3.2 peratus.

"Jumlah tersebut bersamaan dengan 118,100 orang jumlah penganggur yang sedikit meningkat berbanding suku tahun keempat 2021 (2.9 peratus atau 105,300 orang)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut katanya, lebih 100 majikan antaranya Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB.

Hicom Berhad, Giant Malaysia, Malayan Banking Berhad dan Media Prima Digital akan terlibat pada program tersebut.

"Peluang pekerjaan yang ditawarkan meliputi pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan sebagainya

"Diharapkan rakyat Selangor khususnya belia dapat mengambil peluang ini dengan mendaftar di www.selangorjobportal.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pekerjaan yang ditawarkan," katanya.