Khairy usaha selesai isu kekurangan, perjawatan jururawat

Ketua Penyelia Jururawat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu Norwati Jalil (dua, kiri) ketika ditemui bersama 'anak buahnya' di sini, berjanji untuk terus komited dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat. - Foto Bernama
Ketua Penyelia Jururawat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu Norwati Jalil (dua, kiri) ketika ditemui bersama 'anak buahnya' di sini, berjanji untuk terus komited dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sedang berusaha untuk menyelesaikan isu kekurangan dan status perjawatan jururawat di negara ini.

Menurutnya, isu kekurangan jururawat adalah aduan paling banyak diterimanya sewaktu melakukan lawatan di hospital.

"Baru-baru ini saya pergi ke Hospital Tunku Azizah (HTA) bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia hospital yang sangat canggih tetapi tidak dapat memaksimumkan perkhidmatan kerana kekurangan jururawat," katanya.

Beliau berkata, kementerian telah mempercepatkan jururawat untuk dihantar ke HTA dan hospital lain di seluruh negara.

"Saya cuba yang terbaik. Tetapi saya orang politik... Dengar boleh, percaya jangan," selorohnya.

Khairy berkata, antara lain yang sedang diusahakannya adalah status jururawat kontrak yang membabitkan 3,469 orang.

"Kementerian juga meneliti status jururawat yang mempunyai ijazah namun masih berada di gred kumpulan sokongan U29 selain jururawat masyarakat yang sudah ambil kursus Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) tetapi belum dilantik ke U29," katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Hari Jururawat Sedunia dekat sini, pada Khamis.

Ujarnya, jururawat memainkan peranan penting dan tulang belakang kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga membuahkan hasil.

"Mereka terpaksa tinggalkan keluarga terutamanya di awal pandemik.

"Kemenangan kita menghadapi pandemik Covid-19 datang dari hujung jari jururawat kita.

"Sebagai menteri dipertanggungjawabkan menjaga PICK, sebanyak 98 peratus dewasa diberikan vaksin Covid-19 semuanya datang dari tangan jururawat," katanya.

Khairy berkata, peranan jururawat yang merawat pesakit Covid-19 sehingga melakukan tugas menyuntik vaksinasi ke jutaan lengan rakyat adalah satu kejayaan besar.

"Sebab itulah hari ini saya harap pengorbanan jururawat tidak akan dilupakan," katanya.