Nahas lima rentung: Pemandu treler rempuh belakang kereta ditahan

Keadaan treler dalam nahas terbabit. - Foto Bomba Perak
Keadaan treler dalam nahas terbabit. - Foto Bomba Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis telah menahan reman pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tahanan ke atas lelaki berusia 28 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini (Khamis) bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, treler muatan pagar besi dibawa lelaki itu tidak sempat membrek ketika melalui lokasi kejadian lalu merempuh belakang kereta jenis Honda City yang dinaiki lima mangsa terbabit.

Menurutnya, rempuhan menyebabkan kereta mangsa yang dipandu di lorong kiri diseret hingga melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler membawa muatan mozek di hadapan.

"Ketika kejadian, kereta mangsa mengekori treler di hadapan disebabkan lorong kiri laluan dari Kilometer 246 hingga 244.4 ditutup kerana penyelenggaraan jalan.

"Akibat kemalangan itu, kereta dipandu mangsa berusia 22 tahun terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler muatan pagar besi.

"Pemandu kereta dan empat penumpang telah tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri. Kesemua mangsa yang rentung disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung selepas kereta dinaiki terbakar.

Mangsa dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.