Syafiq bawa hadiah istimewa dari Hanoi buat puterinya

Muhammad Syafiq bersama pingat emas yang dimenanginya pada acara akhir 3 meter papan anjal lelaki pada Sukan SEA ke-31 di My Dinh Water Sports Stadium pada Rabu. - Foto Bernama
Muhammad Syafiq bersama pingat emas yang dimenanginya pada acara akhir 3 meter papan anjal lelaki pada Sukan SEA ke-31 di My Dinh Water Sports Stadium pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh mahu menghadiahkan pingat emas pertamanya bagi acara individu di Sukan SEA, kepada anaknya Nuraisya Zulaikha yang menyambut hari jadi esok.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata, pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal lelaki Sukan SEA ke-31, bakal menjadi hadiah istimewa ulang tahun kelahiran kedua puteri kesayangannya, selepas dua bulan tidak berjumpanya kerana menjalani kem latihan ke temasya berkenaan.

"Kemenangan kali ini paling bermakna kerana esok hari kelahiran anak saya, jadi saya hadiahkan emas ini untuknya,” katanya kepada pemberita di Aquatic Sports Palace, di sini.

Terdahulu beliau muncul juara acara berkenaan dengan mencatatkan 381.35 mata selepas enam terjunan, manakala rakan senegara Gabriel Gilbert Daim (375.30) dan Chawanwat Juntaphadawon dari Thailand (340.35) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Mengulas mengenai prestasinya pada Rabu, Muhammad Syafiq berkata, beliau tidak mempamerkan aksi yang terbaiknya, namun bernasib baik apabila tahap kesukaran terjunannya berjaya menyelamatkan beliau daripada diatasi penerjun lain.

Beliau turut bergembira dengan prestasi penerjun muda Gabriel, 20, yang dapat mengejarnya dengan rapat untuk memberikan penamatan satu-dua buat Malaysia.

Muhammad Syafiq sebelum ini, pernah meraih emas acara 3m papan anjal seirama campuran bersama Jasmine Lai pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Bernama