Lelaki warga emas maut digilis, diseret lori

Seorang penunggang motosikal warga emas maut selepas digilis sebuah lori di Jalan Persiaran Senawang 1 pada Rabu. - Foto PDRM
Seorang penunggang motosikal warga emas maut selepas digilis sebuah lori di Jalan Persiaran Senawang 1 pada Rabu. - Foto PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas digilis sebelum diseret sebuah lori di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran lampu isyarat pada tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah lori dipandu lelaki berusia 68 tahun dan motosikal yang ditunggang mangsa berusia 80 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika lori berkenaan sedang bergerak terus di lorong kiri dari arah Puspakom Senawang menuju ke arah Sepang seorang diri.

"Apabila tiba di lokasi kejadian di simpang empat lampu isyarat, datang sebuah motosikal jenis Yamaha yang ditunggang mangsa dipercayai cuba memotong lori tersebut di sebelah kiri namun telah bergesel lalu terjatuh di atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nanda berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan penunggang yang jatuh di atas jalan raya digilis oleh lori tersebut sejauh lebih kurang 10 meter.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) bagi tujuan bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.