Ringgit naik turun kerana nilai tidak tetap, dijamin kerajaan: Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Nilai ringgit naik turun kerana nilainya tidak ditetapkan dan dijamin oleh kerajaan Malaysia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, dagangan Malaysia melonjak naik yang mana ia menyumbang kepada ekonomi negara.

“Tetapi di masa wabak Covid-19 nilai ringgit tidak stabil. Ada masa ia naik dan ada masa ia menurun.

“Bagi peniaga yang import bahan dengan dolar Amerika Syarikat (AS) atau meminjam dolar Amerika, jatuhnya nilai ringgit berbanding mata wang ini meningkatkan kos pengeluaran dan harga pasar produk.

“Kerana kenaikan ini, harga baru jualan perlu ambil kira nilai ringgit berbanding dengan dolar Amerika,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, umum mengetahui bank dibenarkan memberi pinjam duit yang tidak ada pada mereka dengan syarat apabila hutang dibayar, jumlah wang itu dijadikan sebahagian aset bank.

“Berhaklah bank memberi pinjam duit yang telah menjadi aset hari ini. Benar atau tidak pakar boleh godam saya.

“Demikian juga dengan peniaga mata wang. Mereka boleh beri pinjam atau jual duit yang tidak ada pada mereka,” katanya.

Jelas beliau, pinjaman atau penjualan tersebut menjadi sah apabila wang itu disampaikan kepada peminjam atau pembeli kemudian.

Bagaimanapun katanya, penjualan ringgit oleh mereka menyebabkan pasaran kewangan dipenuhi dengan ringgit.

“Mengikut teori ‘supply and demand’ (permintaan dan membekalkan), apabila 'supply' bercambah, permintaan akan berkurangan. Apabila tidak ada demand untuk ringgit, nilai ringgit akan jatuh.

“Apabila nilai ringgit jatuh permintaan akan meningkat. Peniaga mata wang akan beli ringgit yang sudah jatuh nilai dan akan hantar kepada pembeli yang telah beli ringgit pada nilai yang tinggi sebelum jatuh nilainya.

“Maka beruntunglah peniaga kerana menjual ringgit di masa nilainya tinggi dan membekal kemudian dengan ringgit yang dibeli semasa nilainya rendah,” ujarnya.

Tambah Dr Mahathir, apabila nilai ringgit jatuh, pihak yang meminjam atau peniaga akan rugi kerana mereka perlu membayar dengan lebih banyak ringgit yang sudah jatuh nilai.

“Katakanlah mereka pinjam RM1,000 di waktu nilainya tinggi, apabila nilai jatuh 50 peratus, mereka mesti bayar hutang atau harga belian asal dengan RM2,000.

“Maka rugilah peminjam atau peniaga, sementara peniaga mata wang untung RM1,000 kerana di waktu pinjam RM1,000 cukup untuk kos tetapi di waktu nilai ringgit jatuh 50 peratus, lebih banyak ringgit diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, inilah yang berlaku pada 1997 dan 1998 di mana nilai ringgit jatuh kerana peniaga mata wang menjual banyak ringgit yang bukan dimiliki oleh mereka.

“Harapan mereka ialah apabila nilai ringgit jatuh, mereka boleh beli ringgit murah ini untuk dibekalkan kepada pembeli asal.

“Apabila kita tetapkan nilai ringgit pada RM3.80 satu dolar AS dan kita jamin bekalan dolar AS kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk satu dolar AS, maka nilai ringgit tidak lagi akan turun naik.

“Peniaga mata wang pun tidak dapat turunkan nilai ringgit dengan menjual ringgit dengan banyaknya untuk jatuhkan nilainya.

“Sebaliknya jika peminjam hutang dolar dan nilai dolar naik, lebih banyak ringgit diperlukan untuk membayar hutang satu dolar. Ini merugikan peminjam dan menguntungkan peniaga mata wang,” jelasnya.