KFC sasar buka 52 cawangan baharu

Dua dari kiri: Stephen dan May Ling ketika acara ‘It’s Finger Lickin’ Good’ di KFC Pavilion KL pada Selasa.
Dua dari kiri: Stephen dan May Ling ketika acara ‘It’s Finger Lickin’ Good’ di KFC Pavilion KL pada Selasa.
A
A
A

KFC Malaysia menyasarkan untuk membuka 52 cawangan baharu di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Jenama KFC Malaysia, Stephen Chew berkata, angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan cawangan seluruh negara mencecah sekitar 780 restoran menjelang penghujung tahun ini.

Ketika ini, pihaknya mempunyai lebih 740 cawangan setelah beroperasi hampir lima dekad berada di pasaran.

“Modal perbelanjaan untuk setiap cawangan pula ada sekitar RM1 juta dan ke atas, menjadikan jumlah perbelanjaan bagi semua cawangan ialah kira-kira RM100 juta pada tahun ini.

“Modal tersebut turut meliputi kos penambahbaikan restoran yang merupakan peningkatan imej dan menambah baik cawangan tersebut bagi keselesaan para pelanggan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran kempen KFC ‘It’s Finger Lickin’ Good’ di KFC Pavilion KL di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut tentang kemudahan pelanggannya, Stephen berkata, setiap cawangan restoran akan ditambah baik sekitar tiga hingga lima tahun sekali untuk tujuan memodenkan premis tersebut.

May Ling ketika menerangkan promosi Jimat Siang ketika acara 'It's Finger Lickin' Good' di KFC Pavilion KL, di sini pada Selasa.
May Ling ketika menerangkan promosi Jimat Siang ketika acara 'It's Finger Lickin' Good' di KFC Pavilion KL, di sini pada Selasa.

Ujarnya, setakat ini, sebanyak kira-kira 150 cawangan KFC di seluruh negara turut dilengkapi dengan kiosk layan diri bagi memudahkan pelanggan memesan makanan di restoran berkenaan.

“Pada penghujung tahun ini, kita jangkakan kiosk tersebut akan berada di 250 buah cawangan restoran seluruh negara, di samping pembaharuan dekorasi dan reka bentuk dalaman premis,” katanya.

Pada Selasa, KFC Malaysia melancarkan kempen ‘It’s Finger Lickin’ Good’ sebagai salah satu strategi untuk kekal relevan di pasaran sekali gus membawa nostalgia jenama ayam goreng kegemaran ramai.

Antara kempen yang dilancarkan semasa acara tersebut ialah promosi Jimat Siang yang menawarkan potongan harga istimewa ke atas enam menu serendah RM7.99 pada setiap hari Isnin hingga Khamis.

Stephen berkata, pelanggan boleh mendapatkan hidangan tersebut bermula jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang selama sebulan promosi tersebut berlangsung.