Dua kampung di Janda Baik dilanda banjir kilat

Sebanyak 30 buah keluarga di Kampung Chemperoh dan 12 keluarga di Kampung Sum Sum di Janda Baik terlibat banjir kilat.- Foto: ihsan JBPM
Sebanyak 30 buah keluarga di Kampung Chemperoh dan 12 keluarga di Kampung Sum Sum di Janda Baik terlibat banjir kilat.- Foto: ihsan JBPM
A
A
A

BENTONG - Hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan banjir kilat di Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperoh dekat Janda Baik di sini pada Rabu.

Kejadian melibatkan 12 buah keluarga di Kampung Sum Sum dan 30 lagi keluarga di Kampung Chemperoh.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.27 pagi.

Menurutnya, seramai dua pegawai dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dan dibantu lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Janda Baik bergegas ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba telah menjalankan operasi penyelamatan melibatkan tiga keluarga di Kampung Sum Sum namun alami kesukaran kerana ada pokok tumbang menghalang ke lokasi kejadian menyebabkan dua unit gergaji rantai digunakan memotong pokok terbabit.

Banjir kilat yang melanda dua buah kampung di Janda Baik pada Rabu. - Foto: ihsan JBPM
Banjir kilat yang melanda dua buah kampung di Janda Baik pada Rabu. - Foto: ihsan JBPM

"Operasi penyelamat mangsa banjir diteruskan di Kampung Chemperoh dan turut sukar apabila jentera bomba tersekat di dalam Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, pasukan bomba mendapat bantuan dari PBS Janda Baik untuk menyelamatkan mangsa banjir dengan menaiki Arena PBS.

"Banjir surut bermula kira-kira jam 6.30 pagi tadi dan pemantauan di sekitar empat buah kampung di Janda Baik sedang diteruskan," jelasnya.

Sementara itu, beliau juga juga memberitahu terdapat tanah runtuh di jalan masuk ke Janda Baik dan di antara Kampung Sum Sum ke Kampung Chemperoh.

"Jalan telah ditutup untuk kerja-kerja pembersihan batu dan lumpur," ujarnya.