Buih Sungai Skudai: Premis dikompaun, kelengkapan operasi ditahan

JAS menyita kelengkapan operasi sebuah premis yang menyebabkan pencemaran buih di Sungai Skudai.
JAS menyita kelengkapan operasi sebuah premis yang menyebabkan pencemaran buih di Sungai Skudai.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan lapan kompaun terhadap sebuah premis yang menyebabkan pencemaran buih di Sungai Skudai, Johor.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, premis yang beroperasi di Jalan Cyber, Kawasan Perindustrian Senai itu turut dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta 127.

"Buih yang terhasil adalah daripada proses 'polishing' dan 'annealing' yang mana air cucian tidak dirawat melalui sistem pengolahan efluen perindustrian dengan betul," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Menurutnya, premis berkenaan juga didapati tidak mengurus buangan terjadual mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Keadaan Sungai Skudai yang berbuih sejak Sabtu lalu hingga menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar khususnya di Kampung Laut.
Keadaan Sungai Skudai yang berbuih sejak Sabtu lalu hingga menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar khususnya di Kampung Laut.

"Terima kasih kepada pengadu, media dan JAS Johor," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sungai Skudai didapati berbuih sejak Sabtu lalu sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar khususnya di Kampung Laut, Skudai.

Sebuah rakaman video mengenai sungai tersebut yang dibanjiri oleh buih turut tular di media sosial.