Tumpahan kimia: Orang ramai diminta jauhi Sungai Rugading di Tuaran

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TUARAN - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan Sungai Rugading di sini selepas tumpahan bahan kimia dikesan berlaku di sungai itu lewat petang Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Misran Bisara berkata, alat pengesan hazmat telah mendapati wujud bahan sisa berjadual dalam larutan air sungai itu.

Beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 pada jam 6.34 petang sebelum sepasukan anggota dikerah ke kawasan sungai itu.

"Walaupun bacaan bahan kimia dalam air sungai adalah pada paras PH 6.8 atau neutral tetapi jika berlaku lagi tumpahan bahan kimia itu, mungkin boleh jadi lain, oleh itu hari ini kita tidak isytiharkan ia adalah selamat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Misran berkata, pasukan bomba bersama-sama agensi lain turut melakukan pemantauan di sekitar Sungai Rugading dan Jabatan Kimia mengambil sampel air di dua lokasi untuk dianalisis.

"Pihak Jabatan Alam Sekitar Sabah memasang tiga peralatan khas untuk menyekat dan mengurangkan kadar pencemaran bahan kimia di tiga lokasi di Sungai Rugading," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat pembuangan sisa kimia ke dalam sungai itu agar membuat laporan kepada pihak berwajib. - Bernama