Beri tawaran terbaik, halang migrasi pekerja tempatan ke Singapura

Hasni
Hasni
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu kaedah penyelesaian perlu ditawarkan bagi menghalang migrasi pekerja-pekerja tempatan ke Singapura yang menyaksikan peningkatan mendadak sejak lebih tiga dekad lalu.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, perkembangan itu perlu dilihat secara serius dan usaha menghentikan aliran penghijrahan pekerja Malaysia terutama dari Johor perlu dilakukan.

Menurutnya, usaha tersebut perlu dilakukan menerusi polisi menyeluruh yang memberikan fokus terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi negara.

Inisiatif itu, katanya, boleh dilakukan melalui kerjasama yang lebih baik dan koheren antara koridor ekonomi di Johor seperti Iskandar Malaysia (IM), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dan juga Zon Ekonomi Khas Pagoh (PSEZ).

"Terdapat beberapa elemen yang boleh ditumpukan penggubal dasar untuk meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan dengan melaksanakan dasar yang menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia dan terus meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan daya saing perniagaan.

"Mengurangkan pergantungan berat kepada buruh asing berkemahiran rendah yang memesongkan gaji keseluruhan, melonjakkan produktiviti pekerja melalui pembangunan modal insan yang dipertingkatkan dan peningkatan diri melalui peluang kemahiran semula dan peningkatan kemahiran," kata Hasni dalam satu hantaran di Facebooknya, pada Selasa.

Hasni berkata, usaha itu termasuk meningkatkan infrastruktur, termasuk akses dan kualiti pengangkutan awam dan mmpercepatkan pembaharuan politik dan Institusi untuk kestabilan politik dan ekonomi serta kemampanan dasar.

"Singapura menjadi pilihan utama bagi pekerja dari Johor dan Malaysia kerana kedudukannya dari segi geografi dan budaya, serta infrastruktur dan ekonomi republik itu yang lebih maju secara keseluruhannya.

"Sebab utama penghijrahan itu juga kerana gaji dan faedah kurang menarik yang ditawarkan di Malaysia, kekurangan prospek kerjaya, dan ketiadaan peluang dalam bidang tertentu," katanya.

Justeru, kata Hasni, Malaysia dan Johor perlu secara agresif memberi tumpuan meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan secara holistik.

Hasni memberitahu, bilangan pekerja Malaysia ke Singapura menunjukkan peningkatan daripada 195,072 pada tahun 1990 kepada 952,261 pada 2019.