Tiga elemen pastikan industri penerbangan pulih

Wee Ka Siong ketika berucap di Future Aviation Forum 2022 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada Isnin.
Wee Ka Siong ketika berucap di Future Aviation Forum 2022 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga perkara utama perlu diberikan penekanan khusus oleh semua negara dalam usaha memastikan industri penerbangan dapat dipulihkan secara efektif selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, setiap negara perlu untuk mengecualikan kuarantin wajib terhadap pengembara yang sudah menerima vaksin dan memansuhkan keperluan ujian saringan Covid-19 secara berperingkat bagi kemasukan ke beberapa negara terlibat.

Menurutnya, proses untuk mendapatkan visa atau permit juga perlu dipermudahkan.

"Apabila tiga elemen penting ini dapat diatasi, ditambah dengan pembukaan sempadan antarabangsa, sudah tentu ia dapat memulihkan industri penerbangan secara berkesan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat serta negara di seluruh dunia secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin.

Beliau berkata, tiga perkara itu juga telah disentuh ketika berucap di Future Aviation Forum 2022 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi bermula Isnin sehingga 11 Mei.

"Semua negara juga perlu bersama memainkan peranan masing-masing demi memastikan industri penerbangan terus berkembang seiring pasca pandemik dengan menyediakan ketersambungan, memacu kemakmuran negara serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.

"Untuk itu, saya menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menyokong inisiatif-inisiatif yang digarap oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) khususnya dalam menumpukan kepada aspek keselamatan dan penambahbaikan kemudahan industri penerbangan.

"Pada masa sama, saya juga mengatakan bahawa Malaysia menyokong dan menghargai peranan Pasukan Petugas Khas Pemulihan Penerbangan (CART) ICAO yang terdiri daripada negara-negara anggota, organisasi dan pemain industri antarabangsa serta serantau dalam mengharungi cabaran akibat Covid-19 serta menyediakan panduan ke arah pemulihan sektor penerbangan yang selamat serta mampan," katanya.