Kelayakan RDAG 2022 negara ditangguhkan: MOM

Mohd Nazifuddin Najib
Mohd Nazifuddin Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertandingan kelayakan sukan elektronik (e-sukan) negara Road To Asian Games (RDAG) 2022 yang dijadualkan bulan ini telah ditangguhkan ke satu tarikh lain, kata Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan penangguhan Sukan Asia 2022 yang awalnya dijadualkan berlangsung Hangzhou, China September ini, ke tahun depan.

Bagaimanapun menurutnya, pendaftaran untuk ke pertandingan kelayakan itu kini dibuka bagi mereka yang bercita-cita mewakili negara.

"Sukacita saya maklumkan, kita membuka pendaftaran bagi kelayakan negara bermula hari ini. Ada lapan permainan e-sukan dipertandingkan bagi pingat rasmi sukan itu pada Sukan Asia Hangzhou nanti,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

RDAG 2022 merupakan program e-sukan anjuran bersama Majlis Olimpik Asia dan Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF), badan pentadbir sukan berkenaan di Asia

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AESF Steve Kim memberi gambaran bahawa tarikh sebenar pertandingan itu mungkin akan diumumkan dalam bulan ini.

"Besar kemungkinan kita akan dapat membuat pengumuman rasmi dalam dua minggu ini kerana kelayakan Malaysia perlu selesai sebelum kita mula mendaftar (untuk Sukan Asia 2022), kerana untuk menyertai Sukan Asia RDAG 2022 Serantau, kita perlu tahu siapa yang akan mewakili (Malaysia) ke Sukan Asia,” katanya. - Bernama