‘Tiket Kombo RM100’ istimewa untuk penyokong Harimau Malaya

Posa (tengah) pada sidang media mengenai penjualan ‘Tiket Kombo RM100’ pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 di Wisma FAM pada Isnin. - Foto Bernama
Posa (tengah) pada sidang media mengenai penjualan ‘Tiket Kombo RM100’ pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 di Wisma FAM pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PENYOKONG-penyokong bola sepak tempatan hanya perlu membayar RM100 sekiranya mahu menonton kesemua enam perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil Jun ini.

‘Tiket Kombo RM100’ yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu merupakan harga istimewa untuk penyokong bagi menyaksikan kesemua enam perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon.

Naib Presiden FAM, Datuk Posa Majais selaku Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM berkata, pengenalan ‘Tiket Kombo RM100’ itu dibuat bagi memudahkan para penyokong setia Harimau Malaya yang ingin hadir pada ketiga-tiga hari perlawanan tersebut tanpa perlu membuat pembelian tiket secara berasingan, selain dapat menikmati diskaun harga sebanyak hampir 20 peratus.

“FAM prihatin terhadap penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga hari perlawanan bagi saingan kelayakan Kumpulan E ini dan sebagai tanda penghargaan daripada FAM, kita memperkenalkan ‘Tiket Kombo RM100’ ini supaya ia dapat memudahkan mereka (penyokong), selain memberikan sedikit penjimatan dari segi harga.

“Bagaimanapun, tawaran ‘Tiket Kombo RM100’ ini hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh selama dua minggu sahaja iaitu bermula Isnin, 16 Mei 2022 sehingga Ahad, 29 Mei 2022 secara pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.my. Selepas berakhir tempoh tersebut, penjualan akan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 bagi setiap hari perlawanan," ujarnya.

Sebagai contoh kata beliau, bagi hari perlawanan 1 pada 8 Jun 2022, penyokong boleh menonton dua perlawanan iaitu Bahrain lawan Bangladesh pada sebelah petang dan Turkmenistan lawan Malaysia pada sebelah malam, dengan pembelian satu tiket pada hari perlawanan tersebut.

“Jadi kepada penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga hari perlawanan, tidak perlu membeli tiket RM40 secara berasingan sebanyak tiga kali yang harganya akan berjumlah RM120, sebaliknya lebih mudah dan jimat jika anda membeli saja ‘Tiket Kombo RM100’ ini,” tambahnya.

Dalam pada itu Posa berkata, selain ‘Tiket Kombo RM100’ (untuk tiga hari perlawanan) dan tiket RM40 (untuk satu hari perlawanan) yang mana kedua-duanya adalah bagi tiket kategori tempat duduk terbuka, FAM turut peruntukan penjualan sebahagian tiket untuk kategori tempat duduk 'Grandstand' yang berharga RM60 untuk satu hari perlawanan.

“Tiket kanak-kanak pula berharga RM7 untuk satu hari perlawanan iaitu bagi yang membawa anak berusia enam hingga 12 tahun.

“Setiap penyokong boleh membeli maksimum sebanyak lima tiket dan setiap pembelian kesemua jenis kategori tiket di atas akan dikenakan tambahan caj pemprosesan dan caj bank, masing-masing mengikut kadar yang telah ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, kesemua tiket bagi perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E serta dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Myanmar dan Hong Kong, hanya akan dijual secara dalam talian dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium.