Lemas ketika memancing

Lelaki yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Banggol, Jalan Panchor Pokok Sena, dekat sini ketika memancing pada Isnin. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah
Lelaki yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Banggol, Jalan Panchor Pokok Sena, dekat sini ketika memancing pada Isnin. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Banggol Jalan Panchor Pokok Sena dekat sini, ketika sedang memancing pada Isnin.

Mangsa, Aliff Aswad Amir Zaidin Noor, 26, ditemui pada jam 10.44 pagi selepas operasi mengesan dilakukan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa yang merupakan seorang anggota tentera dan bertugas di Kuching, Sarawak dikatakan keluar memancing ikan di parit pada jam 8 pagi.

"Pihak polis menerima maklumat awal daripada orang awam menyatakan seorang individu telah terjatuh ke dalam parit semasa memancing di Kampung Banggol, dekat sini.

"Siasatan awal dengan bantuan anggota BBP Pokok Sena telah menemui mayat mangsa di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan sebarang unsur jenayah.

"Susulan itu, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tujuan bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mengesan mangsa melibatkan tujuh anggota BBP Pokok Sena dengan bantuan dua jentera termasuklah jentera Fire Rescue Vehicle (FRV).

"Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 10.14 pagi dari Balai Polis Pokok Sena memaklumkan terdapat seorang mangsa terjatuh ke dalam sungai.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah telah mengarahkan satu jentera ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang lelaki dikhuatiri lemas dalam sungai," katanya.

Katanya, anggota bomba menggunakan kaedah pencarian dasar di lokasi dan berjaya menemui mangsa kira-kira jam 10.44 pagi.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Operasi menyelamat tamat pada jam 11.08 pagi.