Warga emas rentung, dua melecur dalam kebakaran

Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah rumah di Jalan Parit Abas, Benut, Pontian, pada Isnin yang mengorbankan seorang lelaki warga emas.
Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah rumah di Jalan Parit Abas, Benut, Pontian, pada Isnin yang mengorbankan seorang lelaki warga emas.
A
A
A

PONTIAN - Seorang warga emas rentung manakala dua ahli keluarganya melecur dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Parit Abas, Benut, di sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Abd Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 pagi.

Susulan itu katanya, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Othman Baher bersama 27 anggota dari BBP Pontian, BBP Pontian Baru, BBP Rengit dan Fire Post Benut dikejarkan ke tempat kejadian bersama jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) dan Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik tiba, rumah separuh kekal itu sudah terbakar hampir keseluruhan.

"Mayat warga emas yang rentung ditemukan dalam sebuah bilik manakala dua lagi mangsa berjaya menyelamatkan diri.

"Kedua-dua mereka melecur di kaki dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan daripada Klinik Kesihatan Benut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Azhar, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 4.50 pagi.