Wanita panik nampak ular dalam kereta ketika memandu

Anggota JPJ membantu mencari ular yang terdapat di dalam kereta seorang wanita yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 26.7 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada Ahad.
Anggota JPJ membantu mencari ular yang terdapat di dalam kereta seorang wanita yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 26.7 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita memberhentikan kereta di lorong kecemasan Kilometer 26.7 Lebuh raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) selepas panik ternampak ular di dalam kereta.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi kemas kini di Facebook berkata, kejadian sekitar jam 6 petang pada Ahad itu disedari anggota JPJ yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut.

Menurut kenyataan itu, pasukan peronda diketuai Ahmad Khairuddin Khalid @ Othman bersama dua anggota bertindak melakukan pemeriksaan pada kenderaan berkenaan.

"Pemandu kenderaan dan anaknya keluar daripada kenderaan dan memaklumkan terdapat seekor ular di bahagian letak kaki pemandu dan meminta bantuan anggota JPJ untuk mencari ular tersebut.

"Setelah memeriksa kereta tersebut, ular jenis tedung telah dijumpai dan berjaya dikeluarkan daripada kenderaan," menurut kenyataan di Facebook pada Ahad.

Tambah kenyataan tersebut, pemandu kenderaan tersebut mengucapkan terima kasih di atas bantuan serta tindakan pantas yang diberikan oleh anggota JPJ bertugas.