Alif Satar nafi menunjuk-nunjuk buat kebaikan

Alif Satar
A
A

PENYANYI dan pelakon Alif Satar mengakui sering memuat naik gambarnya berada di masjid menunaikan solat Jumaat di laman Instagramnya untuk berkongsi sesuatu yang positif dengan para pengikutnya.

Tidak mahu ambil kisah dengan dakwaan sesetengah netizen yang mengatakan dia cuba menunjuk-nunjuk melakukan kebaikan, Alif percaya perkongsiannya itu sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi kepada orang lain.

“Saya muat naik gambar pergi masjid tu bukan sebab nak menunjuk-nunjuk yang saya sembahyang pun. Ia hanyalah untuk suka-suka sebagaimana orang lain juga yang kadang-kadang rasa seronok bila ada yang mesej cakap muka kita keluar TV ketika solat (Jumaat).

“Apa salahnya kita kongsi benda-benda macam tu. Daripada orang asyik tengok saya terkinja-kinja kat pentas, bagus juga kalau sesekali mereka dapat tengok saya kat masjid untuk menunaikan kewajipan (solat Jumaat) saya pula,” tegas Alif ketika ditemui di majlis pelancaran dan pengumumannya sebagai duta Harman Studio di Sunway Geo Avenue baru-baru ini.

Kata Alif lagi, dia mengharapkan apa yang dikongsikan itu dapat dilihat dengan fikiran yang positif berbanding mencari kesalahannya

“Kita sekarang hidup dalam zaman yang mudah terdedah dengan pelbagai perkara negatif terutamanya di media sosial.

“Jadi kenapa tidak, saya lakukan atau kongsikan sesuatu yang positif yang mungkin boleh diikuti oleh peminat ataupun orang lain di luar sana yang kenal saya.

“Mana tahu selepas saya kongsi perkara sebegitu, ada yang nak pergi masjid dan jumpa saya di sana. Jadi saya rasa ia adalah suatu benda yang baik dan tak perlu dilihat secara negatif,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Lelaki Seperti Aku ini juga menganggap mereka yang suka berfikiran negatif ini sebagai terkebelakang.

“Pemikiran negatif ni dah terkebelakang, jadi saya cuba nak kongiskan benda-benda postif dalam kehidupan seharian agar kita sentiasa maju ke depan.

“Saya juga tak suka bila orang labelkan semua artis ni sama sahaja. Kita semua adalah individu yang berbeza dan tentunya tidak sama di antara satu sama lain,” ujarnya kepada Sinar Harian.